Mahasiswa merupakan golongan yang penting diwujudkan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Golongan ini berada di menara gading seluruh negara mempelajari setiap ilmu dan pengalaman berguna seterusnya mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan dan kemajuan negara tercinta.
Bagi melahirkan mahasiswa yang benar-benar boleh diharapkan, potensi besar yang sedang berkobar-kobar dan dalam proses untuk membara tidak wajar disekat dan dimandulkan. Mereka perlu disokong untuk meneruskan pergerakan mereka. Disokong dan direstui bukanlah bermakna disuap dan di'tatih' seperti bayi kecil dan budak sekolah. Mereka berada dalam konteks berbeza yang memerlukan pendekatan berbeza.
Kalau ditinjau sejarah mahasiswa dahulu, didapati pergerakan mereka hidup, pemikiran mereka matang, matlamat jelas dan tindak balas mereka pantas serta tahap kepedulian mereka amat tinggi. Melalui ruangan ini, sejarah membuktikan nostalgia tersebut. Sejarah perlu diulang semula dalam konteks kekuatan dan kehebatan pergerakan dan idealisme mereka. Sekiranya kita mengkaji perjuangan mahasiswa seluruh dunia, kita akan menyaksikan mereka terlibat dalam mendaulatkan keadilan di negara masing-masing.
Di Afghanistan, Ahmad Niazi telah memimpin Juanan Muslim (kemudian dikenali sebagai Jamiyyah al-Islamiyyah) pada tahun 1972. Di Iran, Mahmood Ahmadinejad, mahasiswa Islam University Sains Dan Teknologi Iran (IUST) adalah antara pemimpin gerakan mahasiswa yang terkenal sebagai ‘nadi utama’ Pasukan Keselamatan Revolusi Iran (Sepah-e Pandaran-e Enghelab-e Islami) pada tahun 1976.
Di India, Mohammad Ahmadullah Siddiqi telah menubuhkan Student Islamic Movement of India (SIMI) pada April 1977 demi menangani liberasime dalam masyarakat India. Di Mesir, beberapa mahasiswa Melayu-Islam seperti Tuan Ahmad Ata’ullah Suhaimi, Tn. Hj Muhammad Fadhullah Suhaimi (tokoh Ulama’ Melayu Nusantara), Sheikh Salleh Masri, Idris Marbawi, Muhammad Nasir (tokoh MASYUMI) dan sebagainya adalah antara tokoh mahasiswa pada peringkat awal sehingga tertubuhnya Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa pada tahun 1918, kemudiannya Pertubuhan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) pada tahun1930 (kini dikenali sebagai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir – PMRAM, 1972).
Di Malaysia, mahasiswa beridealisme dapat dikesan wujud sejak sebelum merdeka lagi. Madrasah Gunung Semanggol dan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris – UPSI) merupakan antara pentas awal aktivisme mahasiswa. Bahkan, penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) pada tahun 1956 lebih dianggap antara titik perkembangan bagi kemunculan pergerakan mahasiswa di Malaysia. PMI menjadi salah satu pertubuhan yang cuba memberi kesedaran Islam (faham Islam) kepada masyarakat kampus dan luar kampus di bawah pengasasnya iaitu Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al Attas.
Tahap perkembangan kesedaran di kalangan mahasiswa ini menyebabkan mereka ini dikenali sebagai kelompok yang sangat aktif dan bertanggungjawab dalam pelbagai perkara. Sikap kritis mahasiswa apabila dikaitkan dalam dunia kampus tidak akan lari dari sudut suka bertanya, suka mempersoalkan, suka mencabar dan dicabar, suka menampilkan idealisme berbeza dalam ruang terkawal tapi tidak terkonkong.
Mereka tidak akan lari dari realiti yang membina jati diri mereka sebelum melangkah ke alam yang lebih nyata dan mencabar. Berdasarkan situasi pemilihan pemimpin, mahasiswa bukanlah budak sekolah rendah yang hanya memilih tanpa mengambil kira latar belakang pemimpin tersebut. Adalah tidak munasabah sekiranya mahasiswa rela dipimpin oleh golongan yang tidak pandai meminpin dan mengurus segala perihal kemahasiswaan. Jika tidak pandai mengurus mahasiswa, maka bagaimana dapat mengurus masyarakat? Realiti kini sudah timbul fenomena yang
Tidak wajar melabelkan mahasiswa sebagai pro pembangkang (Pro Mahasiswa) dan pro kerajaan (Aspirasi) sehingga meletakkan di minda mahasiswa secara paksa elemen-elemen yang kontradik dan salah. Mahasiswa berperanan menjadi pembantu pihak atasan dan sesama mahasiswa lain. Isu yang dibangkitkan seperti Stupid Debate, PTPTN, peranan sebenar MPP, memorandum minta penjelasan kenaikan yuran kolej kediaman, penerapan aplikasi dakwah dan cegah maksiat di kampus dan sebagainya adalah tidak lebih daripada kesedaran untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa.
Ia juga sebagai tindak balas positif mahasiswa untuk mengubah sesuatu yang perlu diubah di samping menjadi bukti bahawa mahasiswa bukanlah golongan yang mementingkan diri dan bersikap individualistik. Sikap mahasiswa yang poaktif ini tidak wajar dituduh sebagai pembangkang, bahkan sikap inilah yang lebih sesuai untuk dilabelkan sebagai pro universiti dan pro kerajaan (kerajaan di sini bukan bererti pro parti yang mendominasi). Sebenarnya, golongan ini berani menyuarakan pandangan dan pendapat dengan bebas supaya idea yang terbaik dapat dilaksanakan sebagai dasar.
Tidak wajar juga melabelkan mahasiswa tertentu dengan pro kerajaan (Aspirasi). Jika mahasiswa yang tidak berani bertindak untuk memohon penjelasan tentang yuran kolej, tidak hadir mesyuarat di peringkat wakil mahasiswa dan tidak menghiraukan masalah kadar faedah PTPTN yang membebankan mahaiswa dianggap pro kerajaan, maka ini sebenarnya memburukkan nama kerajaan secara tidak langsung. Kerajaan sudah pasti lebih cenderung kepada golongan yang lebih kritis dan berani memberi pendapat untuk kepentingan masyarakat. Kerajaan juga sudah pasti tidak akan merestui mahasiswa yang mementingkan diri dan bersikap individualistik. Bagaimana kesannya kelak sekiranya pihak negara luar mendapati kerajaan Malaysia diwariskan kepada golongan bekas mahasiswa yang suka mengampu, suka mengugut mahasiswa lain, menyekat kebebasan bersuara, akhlak yang parah dan malas memikirkan perihal mahasiswa sebaliknya suka melancong (seperti ke China) dengan peruntukan begitu besar tanpa ada imbuhan positif untuk mahasiswa lain yang pernah mengundi mereka?
No comments:
Post a Comment