Thursday, November 13, 2008

Melabuhkan tirainya

"Tepat pukul 12.oo petang. Semua pelajar diminta untuk meletakkan pen. Semua kertas jawapan sila letakkan disebelah kanan meja. Sesiapa pun tidak dibenarkan 'chat ' dengan rakan sebelah"

Begitulah kata-kata terakhir dari dewan peperiksaan ari ini. Hati ana terasa kesyukuran yang teramat sangat atas anugerah ini. Setiap saat semasa tadi digunakan dengan sebaik yang mungkin. Ilham dan idea seakan dihamparkan didepan mata dalam setiap soalan yang diberikan. Tiada kata yang boleh aku luahkan, tiada apa harta untuk aku membayarnya. Hanya rasa kesyukuran yang teramat kepada MU ya Allah.

Sem ini berlalu dengan penuh suka dan duka. Tarbiah yang Allah berikan kepada ana cukup memberikan kesan terhadap pemikiran dan mengugat prinsip ana. terlalu banyak pengajaran yang Allah berikan pada ana.

Mulanya, ana hampir tersungkur kerana macam tak sanggup menghadapi tarbiah ini. Dengan sokongan sahabat-sahabat perjuangan, ana bangkit untuk memulihkan kembali semangat ana untuk meneruskan jihad di medan ilmu ini.

Ya Allah terima kasih kerana mengurniakan daku sahabat yang memahami. Hanya engkau yang mampu membalasnya.



Tuesday, November 4, 2008

Kurniakan aku ISTIQAMAH ya Allah...

Perkara yang amat sukar dalam hidup ini adalah istiqamah atas kebenaran. Istiqamah bermaksud berdiri teguh sepanjang masa berada atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan. Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab:

“Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang” (Ibn Qayyim, Tahzib Madarij al-Salikin, 2/528, Beirut: Muassasah Fuad).

Inilah perkara yang ringkas disebut, berat untuk dilaksanakan dalam hidup. Jadi, istiqamah mempertahankan kebenaran bererti sentiasa berdiri teguh menegakkan kebenaran dalam apa keadaan sekalipun.

Mempertahankan kebenaran secara istiqamah bukanlah tugas yang ringan. Sekalipun ramai yang pandai berceramah atau berslogan sakan tentang kewajipan dan amanah berdiri teguh atas kebenaran, tetapi belum tentu yang berceramah itu sanggup menghadapi badai cabaran pada setiap musim. Jika ada yang sanggup mempertahankan kebenaran dalam beberapa keadaan, malangnya apabila tiba waktu tertentu dia gugur dan layu.

Ada yang lantang mempertahankan kebenaran bukan kerana kebenaran itu dituntut, tetapi kerana merasakan ‘pasaran’ tajuk tersebut laris untuk dilelong, maka dia pun sakan berkempen. Sehingga sekali pandang seakan dia pejuang kebenaran.

Malangnya, apabila tiba pada masa kebenaran itu tidak mendapat sambutan, dia pun menyembunyikan diri dan lari. Bahkan lebih buruk lagi, dia pun mungkin akan bersekongkol dalam menyindir atau menentang kebenaran.

Insan yang beristiqamah tidak sedemikian rupa. Dia akan mempertahankan kebenaran di kala orang ramai suka dan tidak suka. Di kala kebenaran diterima ramai, atau ditolak orang. Tanpa mengira, samada mempertahankan kebenaran itu mengundang untung, atau rugi. Samada dia disukai kerananya, atau dibenci.

Kebenaran adalah kebenaran. Dia tidak akan menukarkan kebenaran dengan kebatilan hanya disebabkan kepentingan habuan yang diharapkan, atau pangkat yang diidamkan.

Ramai insan yang telah mengorbankan kebenaran kerana sayangkan hartanya. Ada yang menolak kebenaran hanya kerana pangkat yang dipegangnya. Bukan kerana mereka tidak tahu yang benar itu benar.

Justeru itu Allah mengingatkan Bani Israil yang merupakan kaum yang mengetahui kebenaran yang pernah turun kepada Nabi Musa a.s. Mereka sepatutnya menjadi orang yang awal beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. kerana mereka memahami kebenaran. Malangnya mereka menolak, atas kepentingan.

Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu Dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa gerun. Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang membenarkan kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula kafir (engkar) dengannya; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli perkara-perkara yang murah; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 40-42).

Maka tidak hairanlah, betapa ramai golongan agama dalam dunia ini yang kerana diberi pangkat ‘mufti’ atau ‘kadi’ atau ‘pengarah itu dan ini’ lalu mereka mendiamkan tanpa menegur kesalahan yang nyata di depan mata sedangkan mereka mampu. Bukan mereka tidak tahu, namun mereka bimbang jawatan mereka dikacau orang. Padahal, dengan jawatan yang diberikan, banyak perkara yang dapat ditegur dan dibetulkan. Namun mereka mendiamkan diri bagaikan ada butiran permata dan berlian yang tersimpan.

Sebenarnya, bukan permata atau berlian yang tesimpan di lisan, tetapi jawatan yang tersimpan dalam perasaan. Bak kata lirik: “Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan”. Mungkin jika lirik itu digubal semula maka jadinya: “Hendak mati di atas kerusi, hendaklah berkubur dalam jawatan”. Apa tidaknya, sesetengah jawatan itu ada kereta khas, pejabat yang besar dan gaji yang besar.

Sepatutnya fungsinya pun besar. Namun, ramai yang berpangkat hanya hebat kerana pangkatnya, tidaklah pula rakyat tahu apakah fungsinya yang telah dimainkan sesuai dengan gaji yang besar yang kaut dengan selesa itu. Jika dibuang pangkatnya, lalu dinilai ucapan, pemikiran, tulisan, bahkan ilmunya, kelihatan tidak lebih, bahkan mungkin kurang daripada sebahagian orang awam yang lain.

Sukarnya untuk kita meminta mereka seperti itu mempertahankan kebenaran sehingga mengorbankan ‘kemeriahan harta’ yang sedang mereka perolehi. Bukan sahaja mereka, ramai yang lain di kalangan manusia yang hanya kerana beberapa kerat harta, atau wang, atau idaman yang dijanjikan, kebenaran diketepikan. Jika mereka tidak tentang pun, mereka diam, sehingga kebenaran itu mati.

Beristiqamah dalam mempertahankan kebenaran bererti seseorang bersedia untuk menanggung risiko sekalipun pahit dan getir. Sanggup dipukul gelombang anti-kebenaran sekalipun menyebabkannya terdampar jauh tersisih ke dataran yang sangat asing. Istiqamah mungkin menyebabkan hilangnya pangkat dan harta.

Namun, kebenaran tidak boleh dijual beli. Itulah jalan para nabi a.s. sepanjang zaman. Para pengikut nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqamah dan tidak hairanlah mengapa Allah menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqamah.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul), akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 30-33).

Kebenaran itu tidak pernah mengenali pangkat, puak, parti, gelaran dan warna kulit. Kebenaran tidak mempunyai identiti daerah, atau negeri atau bangsa atau keluarga. Kebenaran itu tetap kebenaran berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya.

Istiqamah mempertahankan kebenaran bererti terus menegakkan kebenaran tanpa mengira pangkat, atau gelaran atau kedudukan atau puak. Ini tidak dapat dilakukan oleh mereka yang bersifat hizbiyyah (kepuakan). Samada ekstrimis parti ataupun kumpulan atau mazhab, atau organisasi tertentu akan gagal beristiqamah apabila tiba giliran kesalahan itu berada di puak mereka.

Ramai tokoh-tokoh yang bersifat hizbiyyah ini akan lantang menghentam dan mengkritik kemungkaran yang lakukan oleh musuh-musuh mereka. Malang sekali, apabila perkara yang sama dilakukan oleh ‘orang mereka’ atau ‘pemimpin mereka’ atau ‘parti mereka’ mereka akan mendiamkan diri.

Kita boleh lihat gelagat parti-parti politik dalam negara kita ini pun. Ada perkara yang dihukum haram atau sesat pada masa lepas, didiamkan sahaja pada hari ini apabila mereka terjerumus sama. Ada pula perkara yang dianggap salah dan tidak bermoral lalu ditentang habis-habisan, tiba-tiba hari ini mereka atau parti mereka pula melakukannya atau mengiktirafnya.

Maka kita tidak hairan jika golongan yang seperti ini bermakian antara satu sama lain pada hari ini. Mungkin besok lusa, atau setahun dua lagi mereka berpelukan dengan mesra sekali. Padahal kedua-dua pihak belum pun mengubah prinsip atau masih atas ‘mazhab lama’, tetapi segala dosa dan nista dapat dilupakan kerana ‘kita sudah geng’ dalam politik.

Jika ada yang mengumpulkan keratan akhbar beberapa tahun dahulu, lalu dibandingkan dengan pendirian politik pada hari ini, akan melihat betapa berbeza perkataan dan penilitian. Bukan sahaja dalam soal remeh temeh, bahkan soal-soal prinsip mereka pun, sudah ramai yang berubah. Jika perubahan itu ke arah positif, kita alu-alukan. Tetapi jika ia bagaikan musang, bak kata Saidina ‘Umar, itu amat mendukacitakan.

Namun, janganlah pula kita hairan, jika setahun dua lagi orang-orang politik yang berkasih sayang pada hari ini, tiba-tiba akan akan berperang kembali antara satu sama lain. Segala kesalahan semasa ‘persahabahatan’ dahulu akan diungkit kembali, dan segala yang didiamkan akan dibising semula.

Hal ini berbeza dengan mereka yang istiqamah. Dalam menegakkan kebenaran tidak pernah mengira samada kawan atau lawan. Parti sendiri atau parti musuh. Seagama, atau berlainan agama. Ini prinsip yang luhur dan telus. Atas prinsip ini jugalah orang-orang bukan Islam dapat hidup dengan aman di bawah pentadbiran Islam. Perbezaan agama tidak pernah menghalang untuk para pemerintah Umat Islam yang adil seperti al-Khulafa’ al-Rasyidin menegakkan kebenaran. Sekalipun dalam membela mereka terpaksa menghukum orang Islam yang bersalah.

Malang dalam dunia aliran buta fakta, celik lambang puak dan kumpulan, berpendirian bagi mereka diukur dengan kesetiaan kepada parti atau kumpulan, atau mazhab sekalipun ternyata dalam perkara yang silap atau salah. Terus setia tanpa bantahan sekalipun atas kesalahan dianggap sebagai istiqamah atau teguh pendirian. Sementara sesiapa yang menyokong atau mengkritik pandangan-pandangan pemimpin atau tokoh berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan dianggap tidak berpendirian.

Paksi kebenaran bagi mereka adalah tokoh, kumpulan, puak, parti bukan fakta dan alasan. Inilah asabiyyah yang sebenar. Nabi s.a.w pernah bersabda:

“..Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim, al-Nasai dan Ibn Majah).

Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadis-hadis Sunan Ibn Majah:

“Bendera kebutaan adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil”. ( Al-Sindi, Syarh Ibn Majah, 4/326 Beirut Dar al-Ma’rifah).

Bimbang takut dikatakan tidak berpendirian, maka ramai insan dalam negara ini yang mengambil sikap sangat berpihak. Mereka kehairanan jika ada sesiapa yang bercakap atas kebenaran tanpa melihat kepada warna kumpulan atau parti, sebaliknya atas kebenaran dan fakta. Mereka tertanya: “kenapa awak sekejap menyokong kami, sekejap tidak? Ini tidak berpendirian namanya”.

Mereka lupa, paksi pendirian itu sepatutnya diukur dengan alasan yang dipegang oleh seseorang. Bukan kumpulan yang disokong. Jika seseorang asyik menyokong kumpulannya sahaja tanpa bertanya samada benar ataupun salah, maka itu namanya ‘pak turut’ atau ‘taklid buta’. Golongan inilah yang sepatutnya dihukum tidak berpendirian.

Malanglah, jika ukuran telah terbalik, maka bak sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat..” (Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Demikian, insan perlu istiqamah dalam pendiriannya, merentasi sempadan parti atau sebarang organisasi. Hidup untuk kebenaran, atas kebenaran. Ia satu prinsip yang lebih utama yang mampu mneyelamatkan manusia dari jatuh ke lembah penyelewengan hidup. Prinsip yang goyah dipukul badai, dan tidak lapuh dek panas mentari.

Dalam hadis Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w:

“Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa selain engkau”
.

Jawab Nabi s.a.w:

“Katakan: aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah”.

Sunday, November 2, 2008

Murabbi....

Hilangkan Tension...

MIMPI ITU HIBURAN DARI ALLAH

#Semoga perkongsian cerita dr seorng murabbi ini menjadi iktibar buat kita semua.

Bulan julai 2000 saya telah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana kesalahan menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pemuda yang menyewa sekolah saya untuk program persatuan mereka (mereka ialah persatuan Al-Mau'nah.(1).

Sebelum saya membenarkan mereka menyewa kemudahan sekolah saya untuk program tersebut, terlebih dahulu saya meminta dokumen sah mengenai persatuan mereka. Permintaan saya dipenuhi dengan mereka menyerahkan kepada saya salinan Daftar Pertubuhan oleh Pendaftar Pertubuhan dan Surat akuan sah oleh Jabatan Agama Islam Selangor).

Sebulan selepas program tersebut, berlakulah peristiwa yang menggemparkan negara, iaitu peristiwa Jenalik yang melibatkan persatuan tersebut. Oleh kerana saya pernah menyampaikan ceramah kepada mereka maka saya "dikira terlibat sama". Kerana ketiadaan bukti keterlibatan saya ( kerana pada hari rompakan senjata di Grik berlaku, saya ada dikediaman saya di Kuantan) maka saya ditahan dibawah akta ISA.

Akta yang tidak memerlukan bukti untuk menahan seseorang. Sebab itu saya selalu berpesan kepada rakan-rakan yang mengajar dimasjid-masjid dan surau-surau. Selalulah berpesan kepada AJK surau atau masjid tempat anta mengajar tu, jangan buat apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Bukan sahaja mereka yang kena lokap, nanti anta pun akan ditahan sama di bawah ISA. Alasannya ialah kerana anta terlibat mengajar dimasjid yang salah seorang AJKnya ada melakukan kesalahan.

Sahabat yang ana pesan biasanya akan ketawa dan gelak besar. Kelakar kata mereka. Memang ISA tu undang-undang kelakar. Tapi kelakar-kelakar pun boleh menyebabkan pengamalnya masuk Neraka tau.
Berbalik kepada kesah saya tadi. Bila mengetahui bahawa saya sah ditahan dibawah akta ISA setelah ditunjukkan surat perintah penahanan oleh ASP Ismail di IPD Kuantan.(2). Saya pasrah saja kepada takdir Allah.

Saya tahu saya tidak terlibat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jadi saya benar-benar yakin waktu itu Allah memberi peluang kepada saya melalui satu proses tarbiyyah Allah. Alhamdulillah.

Program malam Pertama saya dalam lokap setelah selesai sessi soalsiasat ialah mandi, solah Taubat, Solah hajat dan Tasbih. Selesai melakukan semua amalan itu saya terus baca Yassin 41 kali khatam. Alhamdulillah, malam pertama terpisah dari dunia luar itu sedikitpun tidak meresahkan hati saya.

Bahkan saya dapat rasakan satu kemanisan dan kelazatan yang sangat luar biasa, kerana dapat berdampingan dengan Rabb tanpa diganggu oleh sesiapa. Itulah amalan saya selama lebih 50 hari dalam lokap IPK Kuantan,(3), disamping berpuasa hampir selang-selang hari.

Sewaktu menjalani hari-hari sepi diperut lokap tersebut, saya dapat bayangkan begitulah keadaannya bila kita mati. Secara mendadak kita hilang segala-galanya. Tiada lagi isteri disamping, tiada gelak gurau anak-anak, tiada lagi teman-teman,(4), tiada lagi rumah kediaman, tiada lagi kenderaan untuk kesana sini. Semuanya terputus. Tinggallah kita dengan nasib sendiri. Tiada siapa yang tahu.

Hampir sama dengan kematian. Saat menjalani perjalanan "pra kematian" itulah saya alami mimpi yang indah.

Masuk malam ketujuh saya dalam lokap, setelah selesai menunaikan solah-solah biasa, saya terus membaca Yassin. Malam itu malam jumaat. Udara sejuk diluar sesekali mencuri masuk kedalam lokap saya. Pada malam tersebut saya merasa mengantuk yang tak boleh ditahan-tahan. Biasanya saya akan baca 41 kali Yassin secara terus hingga jam 3 pagi.

Tapi malam tersebut setelah menamatkan 21 kali khatam Yassin saya rasakan sudah tertahan lagi. Lalu saya memutuskan akan tidur sebentar dan kemudian menyambung kembali 20 kali khatam bacaan. Bila saya baringkan saja tubuh dilantai lokap tanpa lapik itu terus saya rasakan dibawa kedalam satu dunia yang lain.

Tiba-tiba saya dapati saya berada ditengah-tengah himpunan manusia ramai. Betul-betul macam ceramah Pas. Saya tidak mengenali sesiapa pun dikalangan mereka. Saya lihat manusia ramai itu semacam menunggu seseorang. Sesekali mereka tertoleh-toleh dan terjengguk-jengguk kepintu masuk padang yang luas itu. Saya bertanya orang yang paling hampir dengan saya. Kita sedang menunggu siapa ni?.

Orang yang saya tanya menoleh kepada saya dan berkata; kita sedang menunggu kehadiran Amiirul Mukminin Umar Al-Khattab. Hati saya tiba-tiba melonjak gembira. Alhamdulillah dapat lah kiranya untuk saya menatap wajah sahabat RasuluLlah saw yang agung itu. Dalam keadaan diselimuti rasa gembira itu tiba-tiba orang ramai seolah-olah memandang kearah saya. Mereka melambai dan memberi salam.

Belum sempat saya bertanyakan kepada seseorang, tiba-tiba lelaki lelaki yang saya bertanya tadi berbisik kepada saya; Amirul Mukminin disebelah kamu tuu. Saya terkejut sambil menoleh kepada sesusuk tubuh yang tinggi dan tegap disisi kiri saya. Wajahnya putih bersih, berjambang hitam pekat. Wajahnya tersenyum tetapi jelas kelihatan raut ketegasan seorang pemimpin.

Lantas saya memberi salam kepadanya. Airmata saya mengalir kerana terlalu gembira dengan pertemuan itu. Ketika saya mendongak kepada sekali lagi, Beliau tersenyum kearah saya, sambil mengambil tangan kanan saya lalu dilekapkan kepada pipi kanannya.

Saat tangan saya tersentuh dengan pipinya saya rasakan satu aliran sejuk menjalar melalui tangan hingga kesegenap tubuh saya. Alangkah indahnya berjabat tangan dengan tokoh yang mulia itu. Beliau tidak berkata apa kepada saya, hanya tersenyum sambil menggengam tangan saya dan diusap-usapkan kepipinya. Saat kegembiraan itulah tiba-tiba beliau menghilangkan diri.

Himpunan manusia yang ramai beralih pula mendongak kelangit. Dada langit cukup cerah. Bulan mengambang kuning berkilau. Tiba-tiba bulan itu berpusing. Pusingan yang pertama saya terlihat dipermukaan bulan gambar Singgahsana Raja. Tirainya kuning dan hamparannya juga kuning. Pusingan yang kedua gambar Tuan Guru Haji Abdul Hadi sedang menyampaikan ceramah dianjung Sebuah Masjid, menghadap kehalaman luar. Hadirin memenuhi setiap ruang padang yang luas itu. Semuanya diam dan khyusuk.

Pada pusiangan yang ketiga saya lihat gambar Baitullah yang disimbah cahaya. Jamaah Muslimin sedang tawaf menegelilinginya. Selesai pusingan itu, orang ramai pun bubar. Semacam selesai melihat tayangan slaid dipenghujung ceramah. Semua orang berjalan keluar, samalah dengan selesainya ceramah Pas. Disepanjang jalan terdapat peniaga-peniaga yang menjual berbagai barang jualan. Sedang saya berjalan bertunda-tunda dengan orang ramai itu, tiba-tiba saya terlihat satu gerai yang tiada siapa pun yang singgah digerainya.

Peniaganya seorang yang bersih wajahnya. Raut wajahnya tenang walaupun tiada siapa yang sudi singgah digerainya. Melihat keadaan itu saya rasa terharu. Lalu saya singgah dan memberi salam kepadanya. Di atas meja dihadapannya terdapat satu balang besar berisi cairan kuning jernih. Nak cuba? tanya peniaga itu. Apa ini? tanya saya kembali. Oooo.. ini ialah Sandwich madu.

Lalu tanpa diminta beliau membelah sebatang roti yang sederhana panjangnya lalu disapu madu yang terdapat didalam balang tadi. Beliau hulurkan kepada saya sambil berkata ramah; sila lah..orang belum kenal lagi madu ni..cuba lah katanya.

Lantas saya mengambil pemberiannya. Masyallah..bila roti madu itu saya sentuhkan kelidah saya..rasanya sangat lazat, manisnya sederhana, bukan seperti madu biasa. manisnya meresap kecelah-celah gigi. Sedang saya menikmati manisan madu itulah saya tersedar..saat saya tersedar dan bangun untuk berwudhu, masih dapat saya rasakan manis madu di selang-selang gigi. Saya berkumur-kumur, tetapi masih dapat saya rasai manisnya..Maha suci Allah.

Saya lantas berwudhu, menunaikan tahajjud dan menyambung kembali bacaan Yassin saya. Sejak saat itu saya merasa sangat tenang,ketenangan dan kelapangan jiwa yang tidak pernah saya alami sebelumnya seumur hidup saya.

Setiap kali hati saya dilanda duka, segera terlintas disudut hati kecil mimpi yang indah itu. Kali kedua saya alami mimpi bersama Saidina Umar ialah sehari selepas sampai surat perintah penyambungan tahanan kepada 2 tahun lagi. Kemudian kali yang ketiga dipenghujung ramadhan 2003 dua malam sebelum saya dan teman-teman yang lain dibebaskan.

Teruskanlah perjuangan ini wahai teman-teman dan adik-adik. Dampingilah Allah Yang Maha HAAFIDZ, Dialah yang menjaga kita hatta saat kita melupaiNya sekalipun.

Nota:
(1). Sebelum itu sekolah saya selalu disewa oleh Pelajar-pelajar IPTA dan IPTS untuk program persatuan mereka.
(2). ASP Ismail berasal dari Kg Cherang dalam Nyior Cina, Jalan Bereka 12 Kota Baru. Kemudiannya keluarga beliau berpindah ke Kg Air Satan Air Lanas Jeli. Ayah beliau dikenali dengan gelaran Pok Loh Tukang Besi. Saya pernah kekampung beliau sekitar tahun 1985-1986. Khabarnya beliau jatuh sakit yang agak serius pada tahun 2002 dan sering balik berubat di HUSM Kubang Kerian.
(3). Selepas itu saya dipindahkan ke lokap Pulapol Jalan Semarak Kuala Lumpur. Kemudiannya dipindahkan ke PRC (Polis Remain Centre) Kg Batu Jalan Ipoh. Semalaman di PRC saya dipindahkan terus ke Kem Tahan Kemunting (KEMTA) selama 3 tahun dan ditahanan dikediaman (tahanan terhad) selama 10 bulan. (Tempoh mula ditahan, julai 2000 - Nov 2003. Bebas dari tahanan terhad September 2004)
(4). Setelah saya ditahan, Bekas pimpinan Mau'nah Negeri Pahang mengaku tidak mengenali saya. Sedangkan mereka lah yang datang berunding dengan saya untuk menyewa tempat bagi program mereka. Bahkan selepas dibebaskan mereka langsung tidak datang menziarahi saya kerana bimbang dianggap terlibat. Lebih teruk lagi ada yang melarikan diri bila terserempak dengan saya dibandar kuantan (paparan untuk iktibar).

Qiamullail dan tahajjud Rasulullah s.a.w

Fadilat qiamullail

Firman Allah:

"Hendaklah engkau bertahajjud sebahagian daripada malam sebagai kewajipan tambahan kepadamu; pasti Allah akan membangkitkanmu pada kedudukan yang terpuji."
(79: al-Israa)

Tahajjud adalah kewajipan khusus bagi Nabi s.a.w.

Daripada 'Aisyah r.a beliau berkata: Nabi s.a.w bangun berqiamullail sehingga bengkak2 kaki2nya." Aisyah pun bertanya "Kenapa engkau beribadah sebegini ya
Rasulullah sedangkan dosa2 engkau yang telah lepas dan akan datang telah diampunkan.?" Rasulullah s.a.w pun bersabda:

"Tidakkah boleh aku menjadi hamba yang bersyukur." (Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim)


Nabi s.a.w bersabda:

"Sebaik2 lelaki adalah Abdullah sekiranya dia sembahyang malam." (Hadis sahih riwayat bukhari dan muslim)

Nabi s.a.w bersabda:

" Sebaik2 puasa lepas puasa ramadan adalah puasa pd bulan2 haram.Dan sebaik2 sembahyang selepas solat fardu adalah solat malam" (Hadis sahih riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w:

"Wahai manusia sebarkanlah salam, bagilah makan dan sembahyanglah malam ketika manusia tidur nescaya kamu akan masuk syurga dgn selamatnya." (Hadis hasan sahih riwayat at-Tirmizi)

Sabda Nabi s.a.w:

"Hendaklah kamu berqiamullalil. sesunguhnya qiamullail ini gaya hidup orang2 yang solih, mendekatkan kamu kepada tuhan, menghapuskan dosa2 dan menegah diri dari maksiat." (Hr Hakim)

Sebab apa tidak mampu solat malam?

Telah disampaikan cerita seorang lelaki yang tido malam sampai subuh dan tidak bangun solat malam. Nabi s.a.w bersabda:

"Lelaki itu syaitan telah kencing di kedua belah telinganya." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Fudail bin Iyad telah berkata:

"Apabila kamu tidak mampu untuk qimaullai; dan puasa sunat pada siang hari maka ketahuilah sesungguhnya kamu telah dibelenggu dengan maksiat yang kamu lakukan."

Adab-adab Berqimullail

1. Sunat sesiapa yang bangun pada waktu malam untuk sapu muka, bersugi, memandang langit dan membaca ayat 190 - 200 surah Ali Imran. Ini disebut dalam hadis sahih riwayat bukhari dan Muslim (763).

2. Disunatkan membuka solat malam dengan dua rakaat yang ringan. 'Aisyah berkata:

"NAbi s.a.w apabila bangun malam untuk solat tahajjud, baginda membuka dengan dua solat yang ringan." (Hadis sahih riwayat Muslim No 765)

3. Disunat solat malam dgn memberi salam setiap dua rakaat dan diakhiri dgn solat witir satu rakaat. Ibnu Umar berkata:

"Nabi s.a.w sembahyang malam dua rakaat dua rakaat dan melakukan witir satu rakaat." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Solat malam sebelas rakaat. 'Aisyah r.a. berkata:

"Nabi s.a.w solat qiamullail sebelas rakaat" (Hadis sahih riwayat Bukhari)

'Aisyah berkata:

"Nabi tidak pernah solat malam -pada bulan ramadan dan lainnya- lebih dari sebelas rakaat." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Disunatkan memanjangkan bacaan pada solat malam.

Rasulullah s.a.w ditanya solat yang paling afdal. Baginda menjawab:

"Panjang berdiri" (Hadis sahih riwayat Muslim)

6. Disunatkan menyederhanakan suara ketika solat sunat malam. Tidak kuat dan tidak perlahan. Firman Allah:

"Dan janganlah engkau kuatkan suara mu dalam bacaan solat dan jangan engkau perlahankan. Bacalah dengan sederhana yang diantara kuat dan perlahan." (110:Al-Isra)

Ulama mazhab Syafie mentafsirkan solat disini dgn solat sunat malam.

7. Disunatkan berbaring apabila terasa sangat mengantuk ketika solat malam.

Nabi s.a.w bersabda:

"Apabila seseorang itu mengantuk ketika dalam solatnya maka hendaklah dia berbaring sehingglah hilang mengantuknya. Maka sesungguhnya seseorang sedang mengantuk hendak beristigfar tetapi dia memaki dirinya sendiri."
(hadis sahih riwayat Bukhari No 209 dan Muslim No 786)

8. Disunatkan mengejutkan suami atau isteri untuk bangun malam.Nabi s.a.w bersabda:

"Allah merahmati seorang lelaki yang bangun malam untuk solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia renjiskan dgn air di mukanya. Allah merahmati seorang wanita yang bangun untuk solat malam dan mengejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia merenjiskan muka suaminya dgn air." (hadis Abu Daud dgn sanad yg sahih)

Nabi s.a.w bersabda:

"Apabila seortang lelaki mengejutkan isterinya pada waktu malam dan keduanya solat malam maka ditulis daripada golongan "azzakirin dan azZakirat."
(Hr Abu Daud dan Ibnu Majah No 1336 dgn sanad yg sahih)

# oleh itu pilih lah pasangan yg bangun malam untuk solat bukannya bangun tengok tv, main game, sembang2 kosong atau sekadar qada hajat je. HEHe

9. Solat malam lah dgn istiqamah walaupun sedikit. Apa yg disebut disini adalah yg sempurna. Kalau tidak mampu buatlah walaupun satu rakaat solat witir. Nabi s.a.w ditanya tentang amalan yg paling disukai oleh Allah. maka Baginda menjawab:

"Amalan yang paling kekal walaupun ianya sedikit." (Hadis sahih riwayat Bukhari no 6096 dan Muslim No 783)

10. Disunatkan memperbanyakkan istigfar dan doa ketika mana bangun malam.

Firman Allah:

"Dan orang2 yang beristigfar pada waktu sahur" (17: Ali Imran)

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguh tuhan akan turun pada setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir dan berkata: Siapa yg berdoa akan ku perkenankan. siapa meminta akan ku berikan dan siapa yang beristigfar akan ku ampunkan."(Hadis sahih riwayat Bukhari No 1094 dan Muslim No 758)

11. Seeloknya seorang itu berniat sungguh untuk bangun qiamullail ketika hendak tidur supaya dia mendapat pahala qiam sekalipun tidak bangun. Sabda Nabi s.a.w:

"Sesiapa yang mendatangi tilamnya dalam keadaan dia berniat hendak bangun solat malam dan dia terlajak tidur sehingga subuh maka ditulis pahala apa yang diniatkan.Tidurnya itu adalah sedekah dari tuhannya." (Hadis riwayat Imam Nasaie dan Ibnu Majah No 1344 dgn sanad sahih diatas syarat2 Imam Muslim)

12. Disunat menqadakan solat malam yg tertinggal. Baginda bersabda:

"Sesiapa yang tertidur dari melakukan amalan malamnya dan dia lakukannya diantara solat subuh dan solat zuhur maka ditulis pahalanya seolah2 dia melakukannya pada waktu malam." (HAdis sahih riwayat Imam Muslim)

13. Makruh mengkhususkan qiamullail pada malam Jumaat sahaja.

Sabda Nabi s.a.w:

"Janganlah kamu mengkhususkan qiamullail pada malam jumaat." (Hr Muslim No 1144- sahih)

#Ini yg banyak dilakukan oleh masyarakat melayu kita dan menyedihkan termasuklah pelajar2 agama sendiri.

14. Disunatkan meniru cara qiamullail Nabi Daud a.s. Sabda Nabi s.a.w:

"Solat yang paling dikasihi adalah solat Nabi Daud a.s dan puasa yang paling dikasihi Allah adalah puasa Nabi Daud. Baginda tidur ditengah malam, bangun disepertiga yg akhir dan tidur semula sepernam yg terakhir. Baginda puasa sehari dan tidak puasa sehari. "
(Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Maksudnya disini puasa sunat dan solat malam. Puasa ramadan mana boleh buat camtu.hoho.

15. Cara Nak bangun awal pada waktu tertentu hendaklah membaca akhir surah kahfi dan niat dan minta pd Allah untuk bangun pada waktu tertentu.

SELAMAT BERQIAMULLAIL

Rujukan: Al-Muktamad Fil Feqhis Syafie oleh Dr Muhammad Zuhaili dan Riadus Solihin oleh Imam Nawawi.

Saturday, November 1, 2008

Erti Seorang Lelaki

Hari ni kita berkongsi rasa, dari pandangan saya selaku orang muda, tentang apa ertinya seorang suami. Sedang sibuk menelaah buku physiology, ternampak cebisan nota di atas meja, tentang erti seorang SUAMI. Dan lagi ye fikir pasal benda ni walaupun exam nak dekat.Tengok jam baru 2.43 pagi. Saya huraikan ringkas sahaja.

Sunnatullah dan Syariatullah

Memahami syariatullah , iaitu segala hukum hakam yang termaktub di dalam quran dan hadis. Seorang suami juga, perlu memahami sunnatullah seorang wanita (isteri), yang Allah jadikannya lain dari dirinya. Seorang wanita, sifatnya lain sifat seorang lelaki,pelengkap dirinya, maka perlu difahami akan hakikat seorang wanita yang perasaannya lebih halus dari dirinya.

*Syariatullah pada seorang suami kepada isteri :

Nafkah zahir - tempat tinggal, makan minum .

Nafkah batin - merasa selamat dibawah naungan suaminya, tempat berteduh bagi dirinya, tempat tumpuan kasih sayang , tempat kemesraan dan segala yang berkait rapat dengan perasaan. Inilah hak-hak kejiwaan yang perlu dimainkan peranan oleh seorang suami kepada isterinya.

Seorang suami perlu juga melihat dunia kekeluargaan dari sudut pandang seorang isteri. Kerana seorang wanita punyai pandangan yang berbeza dari seorang lelaki. Kombinasi pandangannya dan isteri memainkan peranan dalam menjamin keutuhan dan keharmonian keluarga.

Kombinasi antara pengetahuan tentang syariatullah dan kefahaman terhadap sunnatullah , insyaallah, akan melahirkan keluarga yang penyejuk di mata penawar di hati, bahagia di dunia cemerlang di akhirat.

Uswah Hasanah

Seorang suami merupakan suri tauladan untuk keluarganya. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatian seisi keluarganya. Anak-anak lebih mudah meniru apa yang dibuat berbanding mendengar apa yang diucap oleh ayahnya. Seorang isteri juga lebih mudah mengikut apabila suaminya lebih perihatin terhadap dirinya juga perasaannya.

Seorang suami merupakan pemimpin bagi keluarganya. Jadikan diri contoh terbaik di dalam keluarga.

Amanah (Tanggungjawab)

Menjadi seorang suami merupakan amanah besar yang dipikul bagi seorang lelaki. Bila berjayanya akad nikah, maka seorang lelaki memikul tanggungjawab seorang wanita yang sebelumnya berada di bawah tanggungan ayahnya, kini berada di bawah tanggungannya. Didikan, agama, nafkah dan sebagainya yang ditanggung oleh seorang ayah.

Perkataan amanah ini perlulah selalu diletakkan di dalam minda bahawa bukan perkara kecil dalam membina daulah islamiyah yang terkecil dalam masyarakat,iaitu keluarga. Ilmu memainkan peranan dalam menjalankan amanah sebagai suami, dan juga amanah apabila sudah bergelar seorang ayah.

Matlamat

Seorang suami atau ayah atau lelaki, perlulah punyai matlamat kemanakah hala tuju yang ingin dibawa olehnya dalam kehidupan berkeluarga ini. Sama ada ke syurga atau ke neraka?..

Mahu memberikan kemewahan dunia yang sementara dan berpoya-poya selagi nyawa masih ada?

Mahu menjadikan anak-anak dan isteri sebagai perhiasan dunia semata atau sehingga ke dalam syurga?

Jika mahu dibawa ke syurga, bagaimana caranya, apakah sudah ada?

Matlamat ini perlulah disematkan seboleh-boleh sebelum perkahwinan dilangsungkan , atau selepas bergelar suami.

Jika sudah terlajak, masih boleh diperbetulkan matlamat ini, selagi nyawa dikandung badan.

Istiqamah

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, sifat istiqamah atau berterusan dalam melakukan amalan sangat-sangat menjadi titik penting dalam menjaga keharmonian dan juga kesan didikan kepada isi keluarga. Jika seorang suami atau ayah, tidak istiqamah dalam perbuatannya, manakan mungkin dia akan menjadi uswah (ikutan) terbaik bagi isteri dan anak-anaknya.

Didikan seorang ayah / suami yang dalam tegasnya terselit didikan, dalam garangnya punyai asuhan dan dalam tuturnya penuh dengan kemesraan. Semuanya perlulah dalam kadar yang berterusan. Didikan kepada anak-anak dan isteri jika tiada sifat istiqamah ini, boleh runtuh sebuah instiusi keluarga.

Kesimpulan

S - Sunnatullah & Syaratullah

U - Uswah hasanah

A - Amanah

M - Matlamat

I - Istiqamah


Sama-sama kita mengambil pengajaran. Buat teman-teman yang bakal melangsungkan perkahwinan pada cuti ni, moga Allah luaskan pintu rezeki buat kalian, dan dikurniakan zuriat yang soleh lagi solehah dan sebagai pengganti risalah Islam di hari kemudian.

(Haih, tengah-tengah malam boleh fikir pasal ni…...tepuk dada, tanya iman. Sama-sama muhasabah diri.

Jangan difikir tentang hidup berkeluarga jika hanya mahu hidup berdua, tetapi fikirkan juga yang ketiga dan seterusnya.

Pengolahan dibuat berdasarkan kefahaman penulis terhadap isu-isu masyarakat.(penulis masih lagi belum berkeluarga)