Sunday, August 30, 2009

Apa yang telah kamu buat?

Ramadhan, apakah yang telah kami lakukan kepada kamu?

Ramadhan, apakah yang telah kami lakukan kepada kamu?

“7 hari telah berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamb Allah, apakah yang telah kamu buat dalam Ramadhan ini?”

Hari ini, saya fikir, saya sekadar berkongsi dengan kalian.

Sesungguhnya, hati saya tersentuh. Moga hati kalian juga begitu rasanya.

“Allah telah memberikan kamu harta. Harta kamu adalah milik Allah SWT. Bukan kepunyaan kamu, bukan kepunyaan bapa kamu atau datuk kamu. Maka wahai hamba Allah, apakah yang kamu telah lakukan terhadap harta kamu dalam Ramadhan kamu ini?”

Kita ada duit. Yang dah bekerja ada gaji. Pelajar biasiswa ada duit biasiswa. Yang dapat belanja dari ibu bapa ada juga wang. Hanya golongan faqir dan miskin sahaja mungkin terkeluar dari seruan ini, kerna merekalah yang memerlukan sumbangan manusia yang mempunyai kelebihan wang.

Apa yang telah kita buat dengan harta kita dalam Ramadhan ini?

“Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu makanan. Kamu makan. Tapi adakah kamu berkongsikan makanan kamu itu dengan orang lain? Apakah yang telah kamu lakukan dengan makanan kamu pada bulan ini?”

Ya. Masa Ramadhan, kalau di Malaysia ada bazar-bazar. Ada murtabak special, ada air macam-macam warna, ada kuih macam-macam jenis. Kita beli, ayam percik, apam balik, semua kita beli. Tapi masa buka kita membazir. Makan tak habis. Perut penuh sampai tak mampu bangun solat tarawih. Apakah yang telah kita lakukan?

“Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu masa, dan masa itu sentiasa berlalu. Apakah yang telah kamu lakukan dengan masa kamu dalam bulan ini?”

Ya para pembaca. Masa kita dalam bulan ini, apakah yang telah kita lakukan dengannya? Kita isi dengan apa 7 hari ini? Tidur? Tidak menghubungkan kehidupan kita dengan Allah SWT? Buat benda lagha yang mengundang ghaflah(lalai)?

“Wahai hamba Allah, Allah telah memfardhukan kamu solat, maka apakah yang telah kamu lakukan terhadap solat-solat fardhu kamu? Ketahuilah bahawa Tarawih itu sunnah, sedang Isya’ dan Fajar itu adalah wajib. Apakah pantas untuk kamu mendirikan tarawih tetapi melewatkan isya’ dan mengakhirkan fajar? Ketahuilah bahawa Isya’ dan Fajr itu datang dahulu sebelum tarawih”

Ya, apa yang telah kita lakukan dengan solat-solat fardhu kita? Adakah kita menjaganya dengan lebih baik dalam bulan ini? Apakah kita menghayati setiap geraknya? Atau kita menumpukan tarawih sehingga tidak bangun subuh pada waktunya hanya dengan alasan letih?

“Ramadhan adalah bulan Al-Quran wahai hamba Allah. Wahai hamba Allah, maka apakah yang telah kamu lakukan kepada kitab RABB kamu ini? Adakah kamu mempercantikkan bacaan kamu? Adakah kamu menghayati isinya dalam kehidupan kamu?”

Bagaimana? Kita usaha untuk khatam hanya untuk tradisi atau benar-benar berhajat memahami? Apakah yang telah kita lakukan terhadap Al-Quran dalam bulan ini wahai pembaca?

“Sedekah wahai hamba Allah. Apakah yang telah kamu lakukan dengan sedekah? Apakah kamu memberi perhatian kepadanya pada bulan ini?”

Berapa banyak sedekah kita itu tidak penting. Pokoknya, apakah kita bersedekah? Adakah kita berusaha untuk bersedekah dalam bulan ini?

“7 hari telah berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamb Allah, apakah yang telah kamu buat dalam Ramadhan ini?”

Jawab soalan itu dengan hati kita. Muhasabah 7 hari kita dalam bulan yang mulia ini. Apakah yang telah kita buat? Dengan apa bulan ini telah kita isi?

Ada 23 hari lagi. Jangan itu pula yang kita ulang-ulang, sebagai penenang hati kononnya esok masih ada untuk mengisi kantung pahala diri. Siapa berani menjawab dengan yakin esok akan menjadi miliknya lagi?

Wahai pembaca, Allah menghadiahkan kita Ramadhan. Ini adalah hadiah.

Bagaimana kita melayan hadiah kasih sayang ini?

Silap haribulan, dalam bulan yang mulia ini, kita masih bermaksiat lagi, ingkar lagi kepada-Nya.

Apa yang telah kita buat wahai pembaca? Wahai hamba Allah?

Apa yang telah kita buat?

“Wahai hamba Allah, Ramadhan adalah bulan perubahan. Perubahan buruk kepada baik. Baik kepada yang lebih baik. Agar kita mampu menjadi hamba Allah yang terbaik selepas Ramadhan ini pergi. Hadiah Ramadhan adalah taqwa, dan dengan taqwalah kita berbekal sepanjang 11 bulan yang lain”

Maka apakah kita telah berubah wahai pembaca? Atau memilih untuk buat tidak tahu sahaja?

“Barangsiapa yang meninggalkan Ramadhan, tetapi dia masih tidak diampunkan, maka dia akan dijauhkan daripada Allah. Katakanlah amin” Itu ajuan Jibril, dan Rasul kita telah menyahutnya dengan amin…

Apa yang telah kita buat wahai pembaca?

Mari kita duduk sebentar, melihat jiwea, perbaiki hati, koreksi diri.

ps: 23 hari lagi untuk kita isi…