Friday, January 25, 2008

Pandangan Terhadap Tarbiah Kampus....

"Tiada petunjuk yang terbaik melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw." Kata seorang ustaz ketika majlis ilmu berlangsung di dalam kampus.

Ana teringat akan kata-kata Imam Malik, beliau mengatakan bahawa untuk menjadi umat yang terbaik maka formulanya adalah dari umat yang terbaik. Maka umat yang terbaik pernah wujud di muka alam ini adalah zaman rasulullah saw dan para sahabat.

Oleh itu, kita mesti sentiasa tengok sirah yang berlaku dizaman Rasulullah saw agar kita dapat mengambil pengajaran.

Perasaan Ingin Berubah

Dari perasaan ingin berubah dan mendokong risalah kenabian. Ana mula merubah watak dan personaliti diri. Kena yakin bahawa untuk mengajak orang kepada Allah swt. diri sendiri kena berubah terlebih dahulu. Akhlak itu alat yang paling berkesan untuk menawan hati manusia.

Apa yang ana lontakan ini merupakan suatu pandangan dan analisis terhadap sejauhmanakah tarbiah kampus telah melahirkan para amilin??? Kerana berapa ramai aktivis kampus gugur dek kewajipan yang lebih besar daripada dakwah. (alasan yang selalu diberikan)

Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum malam melabuhkan tirainya.

Kita meneruskan perjuangan bukan mewarisi perjuangan. Kita dianugerahkan akal dan hati untuk menilai.

Dibawah ini adalah hasil tulisan ust hazrizal. Ana mengharapkan kita semua membuka mata hati kita untuk menilai gerak kerja tarbiah kita. Semoga perjuangan kita ini mendapat keredhaan Allah swt.


HASAN AL-BANNA DARI KACA MATA ABBAS AL-SISI

Saya sentiasa ingat kisah yang diceritakan oleh Abbas Al-Sisi di dalam bukunya 'Jalan Menuju Hati'  tentang pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwahnya.

Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Apabila Hasan al-Banna melihatnya, beliau berkata, "Assalamualaikum ya Muhammad".

Lelaki itu amat terkejut. Bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, "aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!"

Begitu sekali Hasan al-Banna sensitif dalam memenangi hati manusia di sekitarnya. Ia bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang mempercayai bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.


SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA

Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.

"Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!", kata seorang penyelia kursus.

"Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan", kata pengarah sebuah program induksi pelajar.

Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.

Apa alasan berbuat demikian?

Mahu membina ketahanan mental.

Ketahanan mental atau masalah mental?

TENTERA LAIN

Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi SAW, yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang nature kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.

Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.

Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.

Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!

Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.

Kita sibuk melatih kader dakwah agar tahan lasak, akhirnya majoriti kecundang sebab kesenangan hidup, bukannya kerana kepayahan.

INSIDE OUT

Tetapi saya percaya bahawa manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah inside-out. Perubahan mesti datang dari dalam. Jika perubahan yang dimahukan itu adalah perubahan sikap, perubahan budaya kerja, semuanya membabitkan soal dalaman manusia. Maka proses mengubah manusia, mesti bersifat manusiawi.

Lihat sahaja gerakan Missionary Kristian. Mereka bukan menyampaikan ilmu tentang Bible tetapi mereka menawarkan kepedulian. Dengan kepedulian itu, ia bisa menarik orang untuk terbuka menerima idea perubahan.

Kepedulian bukan ilmu. Jauh sekali indoktrinasi. Ia adalah sikap dan akhlak seorang fasilitator, penceramah dan guru. Kepedulian itu adalah jelmaan perasaan, dan manusia saling berhubung dengan perasaan… bukannya ilmu.

Orang peduli apa, kamu banyak ilmu sampai ke puncak gunung, kalau kamu tidak berjaya menunjukkan prihatin kamu kepada orang lain.

Bahkan Nabi SAW sendiri dikenang dan dikasihi, adalah atas kasih sayangnya kepada umat. Soal ilmu yang diajar sebagai santapan akal, mungkin 7%, tetapi sentuhan akhlak baginda yang tinggi. Keprihatinan baginda, terserlah di dalam peristiwa baginda pergi melawat wanita Yahudi yang tiba-tiba tidak muncul hari itu untuk seperti biasa menyakiti baginda.

Saya ulangi kembali, "people done care how much you know until they know how much you care

Jika anda buat program untuk tunjuk pandai, maka bertarunglah anda dengan tindakan peserta yang memperlekeh, buat dunno, atau membalas kembali hujah anda dengan bidasan yang memalukan diri.

Tetapi jika anda buat program untuk memandaikan peserta mengurus kehidupan, maka berikan keselesaan kepada mereka, tenangkan mereka, menangi hati mereka dan berikan apa yang mereka perlu, bukannya apa yang anda tahu.

Kita mahukan dari peserta itu perHATIan, bukannya perAKALan. Jika hati yang mahu dimenangi, binalah jambatan, bukannya tembok.

JADUAL YANG RIGID

Di antara penyakit pelajar semasa menganjurkan program, mereka sangat rigid dengan kepatuhan masa berdasarkan apa yang dilakarkan di atas kertas jadual program.

Walhal jadual masa itu bukannya ada asas pun. Ia tidak dibuat berdasarkan kajian terhadap realiti peserta.

Makan buffet, peserta 100 orang, tempoh masa makan yang diberi ialah 1 jam. Itu tidak realistik namanya. Anda merancang untuk mencacatkan program anda sendiri.

Saya percaya, jadual mesti ada ruang anjal. Dalam jadual asal, kita tetapkan sesi tengah hari bermula pada jam 2:30 petang. Tetapi jika peserta kelihatan penat, kita boleh tawarkan peserta untuk melewatkan sesi itu kepada 3:30 petang supaya mereka sempat tidur sekejap. Cumanya, jika semua orang telah bersetuju begitu, maka semua orang kenalah tidur dan bukannya bersembang atau menonton TV.

Maka ketepatan masa, akan diukur pada masa baru yang telah dipersetujui bersama.

Saya rasa sangat badut apabila memaksa juga peserta mendengar ceramah saya dalam keadaan mereka sudah hilang upaya untuk mendengar.

Apatah lagi, jika pelajar yang menganjurkan Tamrin mahu menjana pemikiran Islam peserta, tetapi alat utama pemikiran itu ialah AKAL dan HATI sudah dimusnahkan oleh tidur yang dipotong-potong, dan hati yang disakit-sakitkan.

Ujian kelasakan fizikal, lakukan pada sesi kelasakan fizikal.

Tetapi mulakan dahulu dengan rombakan akal dan kefahaman. Rasulullah SAW tidak melatih sahabat berlaku lasak. Tetapi input kepercayaan yang teguh, menjadikan mereka lebih lasak dari mana-mana pencapaian sejarah manusia. Seorang wanita pun boleh jadi besi dengan sentuhan yang menjunam ke hati. Tanya sahaja Sumayyah, wanita syahidah pertama… kekuatan apakah yang membolehkan beliau memilih mati?

Itu dalam sejarah. Kita boleh mengeluh jika generasi manusia ini makin kemudian makin ’manja’. Khususnya di zaman generasi yang sangat bebas berfikir ini. Tetapi itulah realitinya. Nak dimarah pun, generasi hari ini adalah begitu. Mereka mungkin lemah fizikal, tetapi mereka berani dan ganas fikiran.

Keberanian berfikir yang ada pada generasi muda hari ini, tidak membolehkan mereka memaafkan pembodohan secara mudah. Perbuatan mendoktrin dan memaksa idea hanyalah manifestasi kedangkalan penganjur yang gagal memahami bagaimana manusia berubah.

Manusia boleh ada hati sekeras batu. Jika anda mahu memecahkan batu itu, anda boleh mengetuknya dengan penukul. Tetapi jika anda mahu membentuk batu itu, maka ia memerlukan kesabaran seperti air yang sabar menitik ke atas batu, lantas beroleh kejayaan.

Di dalam setiap program, jika gagal mendapatkan kawan sekali pun, janganlah membanyak biakkan lawan.

Hormati maruah manusia, menangi hati mereka, berhubunglah sesama manusia secara manusiawi kerana manusia tidak pernah peduli sebanyak mana yang kamu tahu, hinggalah mereka tahu sejauh mana kamu peduli.

Bina jambatan… bukan tembok yang memisahkan.aliimran159.JPG

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aal Imraan 3: 159)

Kedatangan Bonda Akhirnya Menjadi Kenyataan...

Alhamdulillah... itulah kata-kata yang keluar bagi seorang anak setelah sekian lama tidak mendengar suara. Semlm tepat pukul 11.00pm ana menelefon ummi. Kehendak hati nak telefon awal tapi memandangkan beberapa komitmen yang perlu diuruskan terpaksa ana akur dengan taklifan yang diberikan.

Suara ummi sedikit serak-serak basah. Mungkin perubahan cuaca. Tapi walau apapun ummi selamat sampai ke rumah. Iringan munajat dari anak-anak yang berada ditanah air memudahkan segala urusan.

Akhirnya, ana mendoakan semoga ummi mendapat pahala haji yang mabrur. Disamping itu, azam ana untuk menunaikan haji bersama dengan abah. Semoga hajatku ingin dimakbulkan oleh Allah swt. Amin...

Thursday, January 24, 2008

Bagaimana Melayari Internet dengan Kebersamaan Allah

Internet merupakan senjata dua mata satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina,memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduanya.

Saya harap saya tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat interaktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia meliputi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujah ke atas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia di seluruh pelusuk alam.

benarlah firman Allah swt :
" Supaya tidak menjadi hujah terhadap Allah selepas kedatangan Rasul-rasul"
an-nisa:165

"dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi kepada kamu"
al-baqarah:143

Manakala dari sudut perniagaan pula satu kajian menunjukkan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 billion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap bencana ini:

" biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba,kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat berbahaya"

  • Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berinteraksi dengannya.
  • seseorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu niat sebelum memasukinya.
  • mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret kepada kematiannya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.
Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapatkan kebahagian di dunia dan akhirat.

Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah swt bererti kita hidup dalam kebersamaan ini dalam setiap urusan,suasana, dan masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka. Kerana itu ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 billion pada tahun 2002. salah satu laman ini mengandungi 300 000 gambar lucah dan telah dihantar lebih satu bilion kali.

Untuk merealisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan was-was, dan mengatasi anjakan-anjakan syahwat.

Kemudian dengan memelihara rasa 'muraqobah' dan 'muhasabah' serta mengekang nfsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia apatah lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Sepertimana yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah saw secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan perkara mungkar menjadi makruf.

"Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap,fitnah seperti kepulan asap,dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka,mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang kufur pada waktu pagi. Antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama meraka dengan habuan dunia. "
Riwayat Ahmad.

Kita berdoa kepada Allah swt agar diberikan kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini.

Ya Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami, dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh.

amin ya rabbalamin..

Cinta Kita, Cinta Perjuangan!




"Enti menangis..?"

"Untuk apa ana menangis, bukankah enta selalu pesan, jangan menangis kerana manusia."

"Habis, mata enti berair?"

"Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair."

Aku tersenyum. Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan 'masuk habuk' yang menyebabkan mata seseorang berair.

Filem-filem Melayu yang mengajar aku.

"Ana tahu enti menangis.."

"Tidak…!! Tak faham-faham ke?!" Dia tiba-tiba membentak.

"Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama.."

"Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap enta tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…"

"Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?"

"Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah.."

"Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?"

Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.

"Enta punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum.." Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?

…………………………………………

"Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!" Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya.

"Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?"

Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.

"Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?"

Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap 'hangat' pada malam ini.

"Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai'ah? Bezanya, bai'ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!"

"Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?"

"Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu."

"Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz."

Dia menamatkan 'soalannya' lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.

………………………………………

"Kau kenal dia Abdullah?"

Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.

"Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!"

Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.

"Jawab soalan aku dulu.."

"Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…" Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.



"Jawab soalan aku dulu.." Aku memohon untuk kali kedua.

"Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan 'kalah' dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!"

"Jawab soalan aku dulu.." Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.

"Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "

"Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan."

"Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka.."

Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.

"Lagi.. negatifnya?"

"Negatifnya.. banyak.." Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung,
"Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu."

"Apa dia..? Negatifkah?"

"Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi."

"Gerakan militankah?"

"Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat 'hazar' yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!"

"Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?"

"Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hunungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!"

"Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?" Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah.

"Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai'ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!"

…………………………………………

Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku.

Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan.

Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?

"Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?"

"Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.

"Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya." Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.

"Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya' ana sudah mempunyai 'ikatan' di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti." Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.

"Ustaz tidak main-mainkan ana?"

"Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain."

"Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana.."

Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi 'perisik'ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.

…………………………………………

Sudah lima bulan aku di bumi ambiya', suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya' ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..

"Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar.." dan dia akan terus menyambung, "Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut.."

Dan biasanya aku akan 'cemburu' dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku. Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber Café yang menjadi rumah 'kedua'ku.

Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, "SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV' Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej : "you have 1 unread message' namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan. "Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut.

'Dia' yang kau amanahkan padaku untuk 'tengok-tengok' telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah 'dia', tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!" Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,

"Akhi, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!"

Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!

The End~ Wassalam~



Lagu Perjuangan oleh Saff-One




"Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera agama. Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata. yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat ruhani, sempurna hati. Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat. Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana ana serikandi dengan silam yang kelam. Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia. Dan yang akan terjadi, andai tak sama kehendak hati, ana redha ketetapan Ilahi"

Usahlah kerana 'perasaan', kita hilang perasaan



Face
perasaan dan
perasaan.


Pernahkah kalian hilang 'perasaan' kerana perasaan?

Perasaan marah, perasaan benci , perasaan dendam, perasaan menyampah, perasaan meluat, perasaan ini , perasaan itu, dan pebagai perasaan yang seolah-olah tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan sebenar kenapa kita sampai sebegini jadinya.

Atau pernahkah sahabat mengalami seolah-olah timbul suatu perasaan yang sukar digambarkan yang terbit dari hati?

Perasaan suka, perasaan sayang,perasaan kasih, perasaan minat ,perasaan malu bila terjumpanya, perasaan terasa ingin mengenalinya, atau lebih mudah kata perasaan cinta. perasaan yang kata orang, bila kita mengalaminya, seolah-olah dunia ini kita yang punya!

Kadangkala, kerna perasaan tertentu inilah, kita hilang 'perasaan'.

Kerana marahnya kita pada sesuatu, kita mengabaikan sesuatu yang lebih penting. Dan aku sendiri hilang sahabat, hilang kawan kerana perasaan. Ada antaranya kerna salahku sendiri untuk direnung kembali namun yang lebih aku sesalkan jika ia datang dari kawan atau sahabat yang istimewa bagiku.

hmm...

Kadang-kala, kerana perasaan kemarahan, kita abaikan perasaan kemaafan. Kerana perasaan dendam, kita lupa perasaan keampunan. sehingga mungkin hati kita pernah menjerit-jerit berkata:

'Cukuplah apa yang engkau dah buat padaku, putus sahabat pun putusla!, Aku peduli apa. Janji aku puas! Kau dan aku tiada apa-apa persahabatan lagi.'

'Aku rasa kau sudah sampai ke tahap tidak menghormati persahabatan kita, lebih-lebih lagi,aku rasa kau sekarang sangat mementingkan diri kau sahaja, cukuplah sampai di sini, aku tiada perasaan untuk bersahabat terhadap kau lagi'

Dan ini adalah sedikit pengalamanku menempuh perasaan yang menyebabkan aku hilang 'perasaan'. Sebahagiannya, sampai sekarang amat aku sesalkan, dan bila-bila aku terkenang kembali,terdetik seribu penyesalan tanpa satu pun kegembiraan.

Moga-moga kalian dapat mengambil manfaat darinya.

Sahabat

Ini kisah yang berlaku antara aku dan seorang kawan. Lelaki atau perempuan bukanlah persoalan yang ingin aku sampaikan, cuma mengharap pengalaman ini dapat memberi rakan-rakan sedikit panduan kelak.

Masalah timbul dalam persahabatan ini apabila perbezaan pendirian dan keegoaan masing-masing menjadi kayu ukuran menilai dan menafsir maksud kata 'persahabatan'. Aku menilai dan mendekatinya berdasarkan pendirianku yang lain dari norma biasa, namun kawan itu menilainya dari pendiriannya yang mungkin juga lain dari orang biasa. Akhir kata, apabila dua daya yang berbeza bertembung, seperti api dan air yang bercampur, akan ada satu pihak yang sengsara dan satu pihak yang gembira, atau lebih teruk lagi, jika kedua-duanya merasa duka dan sengsara yang sama.

Katanya aku terlalu melampau dalam bersahabat sehingga lupa akan kata hormat, kerana aku terlalu melayan perasaan, aku hilang perasaan dan bermacam-macam lagi. Seolah-olah semuanya adalah salahku. Entahla... sampai sekarang aku masih merenung kembali tindakanku.

Namun kerana perasaan ego yang menggunung tinggi, perasaan kemaafan dan pertimbangan di letak jauh dari sudut hati. Dengan harapan, tidak akan ia menjengah lagi.mungkin masing-masing seolah berharap agar ianya tidak pernah berlaku. Cuba memadamkan memori buruk ini tanpa cuba mengambil hikmah yang ingin Tuhan sampaikan.

'Apa salahku?', begitulah persoalan yang kerap kali menghantui dan bermain-main di mindaku sehingga aku hampir-hampir hilang 'perasaan' lantaran tindakanku yang disalah tafsir oleh sahabat ini.

Aku cuba dapat berharap agar putaran masa dapat membantuku meredakan dan mematangkan diri sahabatku ini. moga-moga pintu kemaafan itu dapat kucari kuncinya walaupun mengambil masa bertahun-tahun.dan pesanku kepada sahabatku sekalian khususnya diri ini dan dirinya,

"Kita mungkin boleh berkata kita memahami tapi ianya tidak akan sama sampai masa kita 'mengalami, jangan kerna berbeza pendirian dan terlalu ikutkan perasaan, kita abaikan kehormatan dan 'perasaan', melupakan tujuan dan harapan, semuanya kerana perasaan"

Renung-renungkanlah...

Khas untuk sahabatku, walaupun baginya aku bukanlah seorang yang dikatakan 'sahabat' yang dikatakan. Semoga kemaafannya yang sebenar dapat kukecapi.

Tuesday, January 22, 2008

Kepulangan Bonda yang ditunggu

Tinggal 2 hari lagi bonda yang disayangi akan sampai ke tanah air. Kerinduan terasa amat sangat walaupun ana sebenaranya biasa berpisah dengan keluarga. Tapi lain pula halnya dengan kedatangan bonda ini.

Mungkin disebabkan keberkatan ibdatr haji itu mensyahdukan lagi keadaan. Ana mendoakan agar bonda selamat sampai ketanah air. Dapat melihat dua puteri kesayangan yang telah 40 hari ditingalkan.

Setiap kali menelefon rumah bertanyakan khabar kepada ahli rumah. Adik-adik asyik berkarenah. Kesian seorang bapa menjaga anak. Makan pula ala kadar saja. Sekadar melepaskan lapar diperut. Itulah yang mampu dilakukan oleh seorang bapa. Dengan keuzuran yang dilalui

Tapi berapa ramai ka kita menyedari bahawa pengorbanan seorang ibu bapa cukup berat. Tidak ternilai dengan duit. Biar dikumpulkan duit segunung Kinabalu namun tetap tidak dapat membalasnya.

Akhirnya... doaku selamat pulang kepangkuan keluarga wahai bonda ku.. Tulisan ini akan menjadi sejarah yang cukup bermakna buat seorang anak seperti ana...

Amin....

SEPINGAN PAHALA BERULAMKAN DOSA.


Tajuk artikel ini adalah adaptasi daripada artikel ust hazrizal yang bertajuk Sepinggan Dosa Berulamkan Pahala. Tapi ana tukar sedikit kerana skop tajuk ini dikhususkan kepada semua pejuang dakwah siber agar jadi muhasabah kita semua. Terutamanya diri yang dhaif lagi hina ini.

Mungkin dalam kesibukan kita menyajikan bahan dakwah kepada madu kita di alam siber ini. Jangan kita lupa bahawa para duat juga akan diuji oleh Allah swt. dalam pelbagai dimensi. Samada dari ujian dalaman mahupun luaran. Dalaman melibatkan persoalan sejauhmana rasa berTUHAN kita wujudkan dalam diri.

Bakwah di dunia tanpa batasan. Tapi kadang-kadang ada yang tersesat didunia siber yang penuh dengan lumpur dosa. Akhirnya perjuangan terhijab daripada nusrah/pertolongan Allah swt. Bak kata pepatah yang didukung tercicir dan yang dicari tak dapat. Ini bukan sahaja tidak dapat bahkan dapat kemurkaan Allah swt.
Bagaimanakah mungkin pertolongan Allah boleh turun jika keadaan ini berlaku?

Ketika orang tiada pantau kita dalam melayari internet. Semuanya boleh berlaku. Pengaruh syaitan dan nafsu jangan dipandang remeh oleh para pendakwah siber sekalian. Kerana suntikan syaitan dan desakan nafsu mampu mengegarkan iman walau setinggi gunung. Bukti telah banyak Allah tunjukkan kepada kita.

Mungkin disebabkan kita merasakan terlalu banyak menasihati orang menyebabkan kita sudah memandang ringan dosa kita sendiri. Dosa-dosa kecil kita anggap kecil. Boleh sahaja dihapuskan dengan amal kubra yang kita buat. Tapi kita lupa adakah kita yakin amalan kita itu sudah diterima atau tidak oleh Allah swt. Semuanya masih belum pasti.

Tapi kita alpa, lupa, ego dan sombong dengan pengaruh syaitan. Merasakan kita sudah berjaya mengatasi pengaruh syaitan dan nafsu. Sedangkan orang mukmin itu mesti merasakan rasa berdosa sepanjang masa dan takut akan masa hadapan yang belum pasti. Tiada sapa dapat berikan jaminan. Kerana Rasulullah saw telah lama pergi meninggalkan kita.

Akhirnya, sebagai para duat siber sekalian. Ingatlah dan awasi diri bahawa cctv akhirat telah diwujudkan sejak kita baligh lagi. Tak perlu kawalan manusia dan software kalau kita betul-betul menghayati cctv akhirat.

Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah,pertolongan dan lindungi kepada ana daripada fitnah ini kerana tiada jaminan untuk ana melainkan kita sendiri yang berusaha mewujudkan perasaan muraqobah dalam diri. Takutlah kamu wahai syam akan slide show akhirat yang akan menayangkan segala tingkah laku mu samada buruk atau baik.

Sanggupkah muka mu itu menanggung malu yang teramat sangat nanti. Renungkanlah…

Friday, January 4, 2008

Jelajah Amal

antara gambar aktivti xpdc amal sebelum balik ke kampus
bersama sahabat seperjuangan.. Ketika nie berada di Kudat.
singgah makan seketika.. merehatkn minda dan fikiran.. memikirkn result yang tak berapa baik
tiba ke destinasi kemuncak... Tempat tembungan dua laut. laut china selatan dan laut sulu.. Subhanallah..


Ana mengharapkn agar kenangan indah ini menjadi memori indah dlm hidup ana.