Tuesday, July 29, 2008

Kisah Tupai dan Kura-kura

oleh Pahrol Mohd Juoi

Ini kisah penuh iktibar di sebalik ikatan persahabatan yang akrab antara tupai dan kura-kura. Perkenalan bermula sejak kura-kura memakan buah-buah hutan yang dijatuhkan oleh tupai ke dalam air sebuah sungai yang mengalir perlahan di sebuah hutan. Mulai hari itu hubungan keduanya semakin mesra. Setiap hari keduanya bertemu dan berbual di tebing sungai. Dan kemesraan yang semakin bertambah itu mula berlarutan untuk jangkamasa yang panjang. Sayangnya keakraban persabahatan dengan situpai menyebabkan kura-kura mengabaikan tanggungjawab terhadap isterinya.

Kura-kura mula pulang lewat dan keluar awal daripada tempat kediamannya. Isterinya selalu ditinggalkan keseorangan. Keasyikannya kura-kura melayan situpai mula menimbulkan kecemburuan dan kebencian di hati isteri kura-kura. Diam-diam isteri kura-kura bertekad untuk memisahkan suaminya dengan tupai.

Pada satu ketika seperti yang telah dirancangkan, isteri kura-kura pura-pura jatuh sakit. Badannya dilakonkan agar kelihatan lemah-lesu dan dengan sengaja makanan yang diberikan kepadanya tidak dijamah. Puas diiktihar rawatan dengan berbagai-bagai ubat, namun isteri kura-kura tidak juga sembuh. Kura-kura susah hati dan sedikit-sebanyak mula memberi perhatian yang lebih terhadap isterinya. Melihat keadaan itu, isteri kura-kura yakin bahawa rancangannya sudah separuh berjaya. Suaminya sudah mula terperdaya. Maka tinggal separuh lagi daripada keseluruhan perancangan liciknya ingin disempurnakannya. Selanjutnya isteri kura-kura dengan tipu muslihatnya pun berkata, “aku ingin katakan bahawa yang akan dapat menyembuhkan sakitku ini hanyalah dengan memakan hati tupai!” Terkejut, kura-kura mendengarnya. Mana nak dicarinya hati tupai?



Tiba-tiba dalam kebingungannya itu ia teringat akan sahabat karibnya tupai. Ya, sudah terpaksa… sahabat akrabnya itu terpaksa dikorbankan. Demi kesihatan isterinya kura-kura terpaksa mengorbankan kawannya. Begitulah tekad hati kura-kura. Walaupun agak keberatan pada mulanya, tetapi akhirnya kura-kura mula mengatur rancangan. Seperti biasa, kura-kura pun menemui sahabatnya situpai. Kata kura-kura, “telah lama kita bersahabat, tetapi saya tidak pernah membawa awak bersiar-siar untuk melihat keseluruhan kawasan sungai ini. Apakata kalau saya membawa awak bersiar-siar pada hari ini?” Wah, apalagi situpai dengan gembiranya menyambut baik tawaran sahabat karibnya tanpa mengesyaki sebarang niat buruk disebaliknya. Lalu tupaipun melompat di atas badan kura-kura dan kura-kura pun mula berenang ke tengah sungai.

Sebaik sahaja sampai ditengah-tengah sungai barulah kura-kura mula bercerita tentang keadaan isterinya yang sedang sakit. Dan akhirnya menyatakan dengan terus-terang bahawa ubat bagi menyembuhkan sakit isterinya ialah hati tupai. Terkejut tupai mendengarnya dan tahulah dia bahawa tujuan sebenar kura-kura membawanya bersiar-siar adalah untuk membunuh dan mengambil hatinya untuk diberikan kepada isteri kura-kura.

Makin lama pergerakan mereka semakin jauh ke tengah sungai. Tupai mula berfikir untuk menyelamatkan diri. Tak lama kemudian dia mula menangis. Kura-kura hairan dan bertanya mengapa tupai menangis. Lalu tupai menyatakan rasa simpatinya terhadap isteri kura-kura dan kesediaan menyerahkan hatinya sebagai ubat sepertimana yang dihajatkan. “Tetapi… aku sedih kerana buat masa ini hatiku telah ku ditinggalkan di rumah. Jadi kalau kau inginkannya, kau mestilah menghantar aku kembali ke tebing sungai untuk aku mengambilnya.”

Maka sikura-kura itupun membawa semula tupai ke tebing sungai dan dengan cepat tupai meloncat ke atas pokok kediamannya lalu berkata, “wahai kura-kura mulai hari ini aku tidak mahu lagi bersahabat denganmu. Tak sangka begitu sekali kejamnya hatimu untuk membunuh sahabat sendiri. Selamat tinggal!” Kini tahulah kura-kura-kura bahawa ia telah ditipu oleh situpai. Dengan sedih ia kembali ke rumah untuk menemui isterinya.

Ya, hati isterinya belum tentu dapat dimenanginya semula… tetapi yang pasti ia sudah kehilangan sahabat karibnya. Begitulah kesudahannya kisah yang menjadi gelanggang iktibar kali ini. Secara tidak lansung kisah ini boleh menggambarkan konflik yang sering terjadi pada seseorang individu yang sedang berdepan dengan dilema antara sahabat dan isteri yang memaksanya memilih antara perkahwinan atau persahabatan.

Masih relevankah persoalan yang diketengahkan ini? Jawabnya, ya. Justeru kini manusia kekadang tidak dapat mengimbangi antara kepentingan isteri atau suami dengan sahabat-sahabat. Dan kisah ini juga boleh dijadikan pembayang pada pertembungan antara kejayaan menguruskan rumah-tangga dan juga organisasi.

Percayakah anda kalau dikatakan bahawa ramai manusia dalam era ICT ini terperangkap dalam dilema seperti yang dinukilkan dalam kisah kura-kura dan tupai ini? Ada kalangan yang terlalu memberi tumpuan kepada sahabat samada sahabat seorganisasi atau kebetulan mempunyai minat yang sama sehingga mengabaikan isteri di rumah. Kawan lebih diutamakan daripada isteri hingga siisteri tinggal kesepian atau keseorangan untuk menguruskan keluarga dan anak-anaknya di rumah.

Sisuami lebih senang berbincang hal perniagaan, tugasan, hobi atau sekadar berbual kosong dengan kawan-kawan di luar rumah. Masa, tenaga dan perhatian lebih kepada kawan-kawan berbanding isteri. Bila bersama kawan ketawa-rianya meriah, tetapi bila bersama isteri muka masam mencuka bagai dilanda masalah.

Mengapa ada suami yang boleh memberi masa berjam-jam untuk bermain golf, memancing dan lain-lain aktiviti rekreasi tetapi begitu ‘tersiksa’ untuk mengorbankan masa sejam dua untuk bersama isteri dan anak-anak? Jawabnya, dalam aktiviti rekreasi itu suami akan bertemu kawan-kawan bukan menatap muka isteri. Jika bersama kawan, jiwa sisuami terasa ‘relaks’, santai dan bebas… tetapi bila bersama isteri ada sahaja masalah yang hendak didengar, diberi perhatian dan diselesaikan.

Lalu sebagai langkah ‘escapeism’ ramai para suami meniru langkah kura-kura yang hidupnya dirasakan tenang apabila bersama tupai, berbual sambil makan-makan buahan hutan daripada menatap isteri yang berleter, sentiasa sibok dan risaukan hal-hal rumah-tangga. Bosan, marah, geram, kecewa dan lain-lain rasa negatif bersama keluarga di rumah menyebabkan para suami beralih ke luar rumah untuk bertemu dengan kawan-kawan.

Malah kini sudah menjadi suatu yang lumrah, ramai pengarah, pengurus dan para profesional yang berjaya dalam kariernya tetapi gagal dalam rumah-tangganya. Menurut kajian yang dibuat di Amerika, 90% CEO (ketua pengarah) syarikat-syarikat perniagaan yang paling berjaya dan ternama di dunia telah mengalami keruntuhan dalam rumah-tangga.

Apakah ertinya semua ini? Seperti yang kita sedia maklum untuk berjaya dalam memimpin sesebuah syarikat, seorang CEO mestilah mendapat ketaatan, kerjasama, komitmen malah pengorbanan daripada seluruh ranting organisasi termasuk ahli lembaga pengarah, pengurus-pengurus, pegawai eksekutif, tenaga teknikal dan majoriti kakitangan sokongan bawahannya. Bayangkan sebuah syarikat perniagaan yang ternama di Amerika. Ia tentulah mempunyai modal berbilion-bilion dollar, beribu-ribu perkerja dan berbagai-bagai bidang kerja serta tugasan yang begitu kompleks dan rencam.

Dan seorang CEO yang diktiraf berjaya tentunya dapat ‘mengusai’ semua elemen-elemen yang disebutkan tadi. Dan tentunya… malah pasti! dia selalu berada di samping sahabat-sahabat seorganisasinya untuk mendapat penguasaan itu.

Namun, kata orang, semakin tinggi pokok yang kita naik, semakin kuat angin yang menggoyang. Setiap kejayaan, menuntut pengorbanan. Soalnya sekarang apakah yang dikorbankan itu lebih berharga nilainya daripada apa yang kita kejar? Berbaloikah kejayaan dalam menguruskan organisasi dibayar dengan kegagalan membina sebuah rumah-tanga yang bahagia?

Wajarkah mercu keuntungan dan nama didaki dengan cara memijak hak isteri dan anak-anak? Ya, kebanyakan para korporat dan profesional terkemuka gagal mengimbangi atau mensepadukan antara karier dan keluarga, antara organisasi dan rumah-tanga. Ertinya, mereka lebih efisen dan efektif bersama kawan-kawan berbanding dengan isteri dan anak-anak.

Dan bila berdepan dengan suami yang sedemikian, tidak sedikit isteri yang bertindak seperti ‘isteri’ kura-kura dalam kisah ini. Mereka mula merancang strategi atau jalan keluar untuk menyelesaikan masalah. Mereka bertekad ingin memisahkan suami dengan kawan-kawan, syarikat serta kesibokannya. Lalu mereka merajuk, mengamuk ataupun memilih ‘jalan belakang’ untuk berdepan dengan suami yang mengabaikan rumah-tangga.

Para isteri yang begini akan membuat berbagai-bagai karenah supaya suaminya terikat kembali di rumah. Masalah yang kecil dibesarkan, yang besar apatah lagi. Mereka bersikap terlalu ‘dependent’ – yakni terlalu bergantung dengan suami. Sikap itu sengaja dibuat-buat untuk menarik perhatian suami agar kembali menumpukan kepada dirinya.

Jalan salah yang dipilih oleh para isteri itu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang sedia ada malah memburukkan lagi keadaan yang sedang berlaku. Krisis yang mereka cetuskan di rumah akan memberi kesan pada suami yang kemudiannya memanjangkan krisis itu ke pejabat atau premis perniagaan.

Ada para suami yang berang dan marah-marah kepada para pekerja atau rakan setugasnya kerana marahkan isteri yang ‘meragam’ di rumah. Perlakuan negatif seperti marah-marah, murung dan dendam para suami yang berpunca daripada isteri di rumah akan memberi kesan buruk kepada organisasi di tempat dia bekerja. Prestasi kepimpinan, pengurusan dan kerjanya akan terjejas. Produktiviti dan kualiti kerjanya akan merosot. Kakitangan bawahan atau sebaya akan ‘lari’ manakala orang atasannya akan memarahinya.

Lama kelamaan semua orang meninggalkannya. ‘Toxic people’ semacam itu akan dibenci oleh semua orang. Orang-orang ini bolehlah disifatkan seperti kura-kura yang merancang membunuh tupai. Tapi dalam kes ini, individu yang sedemikian seolah-olah ‘membunuh’ orang yang rapat dengannya, organisasi tempat ia bekerja dan dirinya sendiri. Terjejas dengan ragam isteri di rumah, organisasi dan kawan-kawan pula yang menjadi mangsanya.

Keadaan ini selalunya menimpa kepada mereka yang ‘kalah’ dengan ragam isteri. Tapi bagaimana bagi mereka yang ‘menang’? Walaupun karier dan profesyen mereka mungkin tidak terjejas, tetapi rumah-tangga mereka akan hancur. Strategi tidak ‘menjadi’ oleh para isteri yang cuba ‘mengembalikan’ suami kepada diri mereka dengan cara yang salah akan memberi kesan sampingan yang akan lebih memburukkan lagi keadaan. Sikap tidak ambil kisah, tidak endah dan tidak peduli oleh para suami akan tambah menyakitkan hati para isteri yang meragam itu. Mungkin mereka akan memilih cara yang sama…

Yakni mereka juga akhirnya tidak endah dan tidak peduli terhadap para suami. Ya, kalau rajukan mereka tidak diperdulikan ertinya suami sudah tidak menyayangi mereka lagi, kan kata orang tua, ‘merajuk pada yang kasih?” Jadi apa lagi hendak di tunggu? Mereka pun minta cerai atau kadangkala sanggup berlaku curang di belakang suami. Bayangkan kalau kura-kura buat tidak endah akan kesakitan yang dialami oleh isterinya atau tidak melayang lansung permintaan isterinya yang hendakkan hati tupai… Maka isteri kura-kura juga berkemungkin besar akan cabut meninggalkannya!

Adalah wajar kita melihat persoalan ini dengan lebih tertib dan tepat. Kejayaan menguruskan rumah-tangga bersama isteri seharusnya perlu didahulukan sebelum mencapai kejayaan mengurusan organisasi bersama kawan-kawan. Ini kerana menurut pakar-pakar motivasi, “personal victory must come first before public victory.”

Dalam Al Quran dan hadis jelas menunjukkan bahawa diri dan keluarga perlu diselamatkan terlebih dahulu sebelum menyelamatkan orang lain. Dari segi logik atau rasionalnya pun, sudah tentulah kemenangan di peringkat individu yang jauh lebih mudah perlu dicapai dahulu sebelum kemenangan di peringkat umum yang jauh lebih sukar.

Dan atas ketertiban inilah Rasulullah telah berjaya dalam kepimpinan dan tugas kerasulannya. Nabi Muhammad saw adalah orang yang ceria bersama isteri-isteri dan keluarganya dan baginda juga individu yang sentiasa ceria bersama sahabat-sahabatnya. Isteri-isteri baginda tidak pernah ‘cemburu’ melihat baginda akrab dengan sahabat-sahabatnya di luar rumah justeru mereka telah mendapat layanan, belaian, perhatian yang sempurna apabila baginda bersama-sama dengan mereka di rumah!

Ketertiban sangat dipentingkan dalam Islam dan ini semua telah disusun mengikat aulawiyat (keutamaan) masing-masing. Ada hak diri, keluarga dan sahabat yang perlu ditunaikan mengikut susunan yang telah ditetapkan. Tumpuan pada satu perkara bukan alasan mengabaikan perkara yang lain… Inilah indahnya jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan, kita tidak akan menghadapi dilema seperti yang dialami oleh kura-kura – dilema antara isteri dan sah

Ketakutan Seorang Lelaki

Assalamualaikum wbt..

Moga sentiasa bernafas dalam keikhlasan mencari keredhaanNYA diakhir tujuan setiap amalan Insya Allah. Moga juga sentisa kekal diatas jalanNya dan tidak sekali-sekali berputus asa untuk terus berjalan. Sewaktu saya menulis ini saya baru sahaja pulang dari kuliah di universiti. Dek kerana sesi lab dan kuliah kedua-duanya dibatalkan, Allah benarkan tenaga ini digunakan untuk menulis sedikit diruangan ini.

Pagi ini saya mengambil keputusan untuk menuju ke universiti lebih awal berbanding sahabat-sahabat saya. Alhamdulillah sesampainya di univeristi, sekali lagi Allah benarkan saya untuk mengerjakan solat Dhuha terlebih dahulu. Seperti kebiasaanya pada setiap kali selepas solat, seperti juga anda, serangkap demi serangkap doa saya panjatkan pada Yang Maha Esa. Cuma dihulunya ..‘1 message received’..sejenak, I got a message from my Lord. Beberapa perkara khusus berlari-lari di setiap inci otak saya. Pantas saya cuba menghilangkan buat sementara waktu dan menghabiskan ‘permintaan-permintaan’ saya pada Allah.

Selesai segalanya, lantas saya menyandarkan badan yang masih dalam kesegaran wudhu’ ini di sebuah sudut yang terpencil di surau universiti yang nyaman dan damai sekali. Beg biru yang di hantar oleh ibu dari Malaysia saya capai, isinya saya keluarkan. Sebuah buku physiology kehijauan saya selak. Helaian demi helaian, bacaan demi bacaan. Satu pun saya tidak dapat fokus. Mengapa? Sebabnya perkara tadi masih lagi berlegar-legar difikiran saya. Seakan-akan meronta-ronta untuk dikeluarkan dan diterjemahkan. Tetapi, apa?

`Ketakutan seorang lelaki!’

Mungkin agak janggal bagi anda dan saya meniti mata kita dari `K’ sehingga I’` pada tajuk diatas. Tapi, inilah perkara yang bermain difikiran saya ketika itu. Saya pun tidak tahu dari mana pangkalnya dan dari mana hujungnya. Cuma yang saya tahu, ada lelaki yang sedang ketakutan disekeliling kita sedang mencari jawapan, jawapan bagi setiap soalan untuk dirinya. Sekali lagi pantas jari jemari ini berfungsi, kali ini untuk menutup helaian-helaian buku physilogy saya, ada perkara yang perlu diselesaikan..

Lelaki owh lelaki..jangan takut..Allah kan baik.

Saya teringat diwaktu dulu, ketika itu saya masih lagi kecil dan kurang mengerti selok-belok dunia ini. Hatta kini, masih juga sama. Cuma, Alhamdulillah, merentasi masa pasti juga akan merentasi suka dan duka. Syukur Allah benarkan saya belajar banyak perkara dari semua itu.


Saya insan biasa. Tetapi sukakan sesuatu yang luar biasa dalam keadaan yang biasa-biasa. Jadinya, kalau ada salah dan silap, sama-sama kita saling melengkapi. Moga Allah kira ini sebagai usaha untuk mendapatkan keredhaanNya.


Mari bermula! Dulu saya pernah bersembang dengan seorang akhi tentang cinta.Tapi, biasalah..dulu sembang-sembang sahaja. Kini, Allah bagi rezeki untuk terjemahkan balik satu-persatu, Alhamdulillah.


‘yer,memang kita perlu yakin dengan jodoh yang Allah bagi kat kita,tapi kita kena ada usaha..
‘usaha’?
‘aah, usaha..’
‘oo00oo, usaha..'


Maka merentasi masa, saya melihat bermacam-macam usaha yang ada kat muka bumi ini, dalam mencari jodoh atau pasangan hidup.

‘Usahalah kenal dia, SMS laa’
‘Isk, apa susah..bercinta la, baru kenal..’
‘Baik tackle cepat, sebelum dia ditackle kan orang lain.melepas kau..’


Saya pun, angguk dengan pendapat-pendapat manusia, masa pun direntasi lagi.


‘Alamak, melepas laa aku dia, tak tau kenapa ‘.
‘Isk, bosannya kahwin, kalau aku tau..aku tak nak bercinta dulu..’
‘Buang masa aku jer..last-last bukan sesuai pun…'

Aih...dah bertukar dah..begitu pula jadinya....


Apa yang sahabat-sahabat boleh bayangkan dalam situasi dialog diatas? Apa yang ingin saya sampaikan? Ruang ini saya ingin memotivasikan lelaki-lelaki yang mungkin sedang dalam ketakutan dalam mengharungi hidupnya seharian (ingat, saya pun lelaki juga).

TEKNIK & TAKTIK:

1) Letakkan kenyakinan yang tinggi pada Allah swt.Usaha sebenar bukanlah terletak pd SMS, chatting, tackle menackle atau pada apa yang menjurus kepada sebuah perhubungan sebelum kahwin. Tetapi USAHA sebenar seorang lelaki adalah menahan segala-galanya dari perkara yang menjurus kepada itu. Itulah USAHA sebenarnya..

Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti’


2) Setiap lelaki inginkan wanita yang solehah untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Ketakutan lelaki akan muncul apabila bertemu dengan calon pilihannya dan risau akan kehilangannya. Dia akan berusaha untuk mendapatkan wanita tersebut dengan cara yang berbeza-beza.

Untuk yang kurang pendedahan agama:Mungkin mengambil jalan untuk bercouple(dating etc)


Untuk golongan pertengahan :Biasanya akan menggunakan ayat2 kiasan,jelling menjeling dan mungkin bercouple tapi istilah ‘bercouple dalam islam’ …


Untuk golongan yang didedahkan dengan agama:Ini bahaya! Ramai juga pejuang-pejuang yang bertungkus lumus didalam agenda dakwah dan sebagainya dimata manusia, gugur di persimpangan ini. Nauzubillah min zalik. Sehingga ada yang sanggup menghadiri program tarbiyyah hanya semata hadirnya zaujah pilihan dihati. Ada juga yang menganggap diri masing-masing sebagai sahabat juang, lalu meluahkan masalah didalam perjuangan bersama-sama, sedangkan wujud jantina sejenis yang lebih afdhal? Alasan - akhawat lebih memahami?Sudahlah, syaitan lagi memahami. Astagfirullahal adzim, jauhkan lah semua ini dari kami Ya ALLAH.


Firman Allah ini sangat popular, namun ramai buat-buat tak tahu tentang kehadiran isi kandungan yang ingin disampaikan .



“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”



Ianya adalah ‘mendekati’ , bukannya ‘melakukan’ ..Allah ingin mengajar kita supaya tidak mendekati cabang-cabang zina, walau seinci!..subhanallah.nauzubillah..ihfazna ya Rahman..


3) Lelaki punyai kekuatan, bukan pada tubuh badan. Tapi kekentalan menghadapi cabaran seorang perempuan.


Sebuah hadiht sahih: Ar rasul bersabda..


'Tidak aku tinggalkan fitnah paling besar dan berat kepada anak adam,melainkan perempuan'

Akhirnya kita dapat melihat bahawa setiap lelaki inginkan kebaikan dalam setiap perhubungan, mengharapkan teman hidup yang betul-betul mampu memahami. Disinilah muncul ketakutan didalam jiwa mereka sehingga menghasilkan `usaha’ yang tak diperlukan.

Ingat, sahabat-sahabat sekalian, sekiranya benar dan ikhlas tujuan kita, usaha kita yang sebenar adalah usaha menghalang segala `usaha’ yang akan menghalang kita mendapat cinta seperti cinta Rasulullah dan Khadijah.

Allah tak zalim, cinta suci, peliharalah kesuciannya.




Di benak hati, letakkan KEYAKINAN..ikutlah cara Islam, ikutlah undang-undang tuhan, ikutlah teladan Rasulullah dan sahabat, juga salafussoleh..moga ia akan memberikan kebahagiaan di DUNIA juga AKHIRAT.

Formula : Yakin + Islam’s way = isteri @ suami solehah..=)

Insya Allah..specific for me, but rugi kalau tidak disebar-sebarkan..kan?..manfaat bersama. Andai saya juga terleka, ingatkanlah saya..saya juga seorang lelaki..:)..

Syukran ‘ihfazillah yahfazka’..

salam ukhuwah..

KAHWIN!




this is the way


the only way..rite?

Caj PTPTN tidak langgar syarak

PUTRAJAYA 28 Julai – Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.

‘‘Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).

‘‘Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian.

Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setakat ini terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion.

Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.

Abdul Shukor berkata, perubahan caj perkhidmatan baru yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh PTPTN melalui Kementerian Pengajian Tinggi setelah dibuat perkiraan semula.

Friday, July 25, 2008

Akan Ku Tempuh Jalan Ini


Bismillahirrahmanirrahim...

Orang suka cakap yang ana ni cukup tabah. nampak tenang sahaja. Macam tiada masalah yang menyerang diri ana.

"bertali arus dugaan tiba
menakung sebak air mata
namun tak pernah pun setitis
gugur berderai dipipi"

Nampak sahaja seperti tiada masalah yang melanda diri. Pada hakikatnya hanya tuhan sahaja yang tahu. suka untuk ana ambil ayat al-Qur'an berkenaan ujian daripada Allah s.w.t. ini iaitu,

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(al-Baqarah : 286)

Setiap daripada kita, Allah s.w.t. akan uji dengan beberapa ujian. Untuk melihat sejauh manakah keimanan kita kepada-Nya. Dan ujian itu memang diri kita mampu menanggungnya kerana Dia adalah Allah s.w.t., iaitu Tuhan yang menciptakan manusia.

"tidak ditempah hidup sengsara
suratan nasib yang melanda
menongkah badai bergelora
diredah bersendirian"

Mungkin inilah yang boleh diungkapkan ketika mana diri (Kita) disisihkan oleh orang lain, dipandang serong oleh teman-teman rapat, yang mana perasaan (kita) pada masa ini adalah keseorangan dalam "perjalanan ini".

Suka untuk ana katakan pada teman-teman rapat ana yang (insyaALLAH) akan menjadi seorang pejuang agama Allah s.w.t. iaitu berkenaan dengan Kesabaran kita dalam menempuhi "Jalan ini". kerena apa?. Kerana jalan ini sahajalah yang akan "menjumpai" perkara2 seperti itu. Jalan ini jugalah yang menjanjikan habuan yang lumayan di "negeri sana" kelak.

Dan kita mesti ingat, ketika mana Rasulullah s.a.w. ingin menyampaikan Islam pada kaumnya, begitu jugalah yang di alami oleh Baginda. Bahkan...lebih teruk dan dahsyat daripada itu. Yang kita alami sekrang ini hanyalah secebis daripada pengalaman Baginda dan Para pejuang agama Allah yang telah menjumpai syahid mereka.

"bagaikan camar pulang senja
patah sayapnya tetap terbang jua
sekadar secicip rezeki
buat yang sedang rindu menanti
segengam tabah dipertahankan
buat bekalan diperjalanan
kau bebat luka yang berdarah
kau balut hati yang calar"



Sahabat-sahabat yang ana kasihi sekalian. Memang diakui, yang diri kita ini memang lemah. Memang lemah sangat tanpa pertolongan daripada Allah s.w.t. . Tetapi kita mesti ingat, bahawa Allah s.w.t. sentiasa bersama-sama dengan orang yang bergantung hanya pada Nya.

Biarlah dugaan itu datang sebesar manapun, sekuat manapun, selaju manapun, ingatlah Allah taktala ia berlaku. Memang payah....memang sukar untuk melakukannya. Tapi, ianya sesuatu yang tidak mustahil. Yakin lah...bahawa Allah sentiasa disisi kita.

Ana memang kerap kali tewas dikala ujian itu datang, ana sedih.... ana geram kerana diri ini tidak dapat menahan ujian itu. Tapi...setiap kali ana "jatuh", Allah s.w.t. telah menjadikan kalian "perantara" untuk memperbetulkan diri ana yang sememangnya teruk ini. Alhamdulillah... masih lagi diberikan peluang untuk memperbaiki diri.

"telah tertulis suratan nasibmu
derita buatmu ada hikmahnya
terlukis senyum dibibir lesu
tak siapa tahu hatimu"

Wahai sahabat-sahabat ku sekalian,
diri ini dapat memahami antum semua. Mungkin tidak banyak, tetapi dengan secebis kefahaman berkenaan diri kalian itu, ana dapat mengambarkan apa yang ada didalam diri itu. Kalian senyum, kalian ketawa, kalian tersengih....dihadapan ana. pada hakikatnya.... dalam hati kalian, ada sesuatu yang orang lain tidak tahu.

"Biarpun keruh air dihulu
mungkinkah jernih dimuara
biarpun jenuh hidup dipalu
pasti bertemu tenangnya"

Sahabat ku sekalian,
fahamilah rangkap terakhir ini dengan dalamnya. Mungkin rangkap ini dapat meredakan kegelisahan dan keresahan hati kita. Biarlah sekarang ini (Kita) bersusah payah dalam meneruskan "jalan ini", biarlah kita berpenat lelah, biarlah kita berhabisan duit, biarlah kita terguris dan terhiris dek ujian yang datang melanda, supaya nanti.... semua itu.....(insyaALLAH) dapat menghasilkan sesuatu yang baik untuk Islam. Untuk Islam yang tercinta.... Untuk Islam... untuk Islam...dan untuk Islam....

TAKBIR!!!!

Thursday, July 24, 2008

Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah


KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah).

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

Image











"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu. Image

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

ImageBeliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya. - mj/mks. _

Monday, July 21, 2008

Malasnya Membaca...


Dalam buku Mubasyirat bintisoril Islam Dr Yusof Qardhawi antara lain mengulas tentang kelemahan ummat Islam. Katanya ummat Islam ramai yang tak tahu mambaca Al Quran, yang tahu membaca malas membaca, yang rajin membaca tak faham apa di baca, yang faham tidak beramal dengan apa dibaca dan yang beramal tidak bersungguh dalam amalannya.

Sungguh jauh kita dari petunjuk Al Quran.

Saya melihat fenomena ini sesuatu yang bersifat realiti bukan sahaja di Saudi sebagaimana ulasan Dr Yusof Qardhawi, tetapi juga di Malaysia.

Bukan sahaja malas membaca Al Quran malah malas membaca bahan ilmiah atau sekurangnya bahan yang mengajak kita berfikir. Sebab itu saya suka memilih menulis artikel pendek. Apa yang lebih malang, dalam keadaan malas membaca itu kita lebih cenderung untuk mengkritik tanpa memahami apa yang kita kritik. Malah lebih mendukacitakan bahasa yang melambangkan katandusan adab dan akhlak.

Sifat ini juga menjangkiti orang yang mengaku pejuang atau pendokong Islam. Sesuatu yang tidak wajar berlaku. Ketika membela Rasulullah SAW yang mulia akhlaknya kita menggunakan bahasa yang langsung tak beradab.

Islam mengajak kita menggunakan hikmah, nasihat yang baik dan bermujadalah kerana itu yang terbaik. pastinya dengan adab dakwah.

Saya teringat bagaimana Salehuddin Ayubi telah menyaring tenteranya ketika ingin membuka Falastin. Siapa yang tidak berqiamulail di waktu malam diasingkan. Saya tidak bermaksud mendesak setiap kita yang mendokong perjuang Islam bersifat begitu walaupun itulah yang sepatutnya. Namun kita perlu menjauhkan diri dari sifat yang menghalang turunnya pertolongan Allah. Di saat ulama dan pimpinan bermunajat, kita pula mengundang dosa dengan lidah dan tulisan kita. Diriwayatkan munajat Nabi Musa memohon hujan terhalang kerana ada seorang namimah di dalam jamaahnya.

Moga kita tidak menjadi pumca terhalangnya pertolongan Allah untuk kemenangan Islam bagi jamaah. Gunakan pemikiran menyaring perasaan, gunakan iman membimbing pemikiran. InsyaAllah kita akan mendapat pertolongan dan kemenangan

Fikir-fikirkanlah....



Barangkali gambar ini boleh ditafsir bagi mereka yang mampu MEMBACA YANG TERSIRAT DARI YANG TERSURAT. ianya adalah gambaran kelompok masyarakat yang mementingkan diri dan penuh hasad dengaki dan khianat sesama sendiri.

SEMUANYA KERANA MENGABAIKAN HIDUP BERAGAMA!!!!!

#klik pada gambar utk lebih jelas

Friday, July 18, 2008

Lagu Ini Hari Ini

Hey kawan
Dunia kita memang berbeza
Jalan kita melencong dan lurus
Namun matlamat kita tetap sama
Jadilah insan yang tulus

Hidupku aku yang resahkan
Bukan seperti yang kau andaikan
Tak seindah yang kau anggapkan
Tapi cukup untukku
Dendangkan lagu ini
Aku tulis hari ini sekadar
Hanya untukku sendiri renungi
Bukan sekadar menyalahi
Tiada sebab yang tersembunyi

Duniaku...
Tak seindah pandanganmu
Namun cukup...
Untukku dendangkan pada mu
Lagu ini hari ini

Mereka semua tak peduli
Apa yang telah aku lalui
Ada yang hanya tahu mengeji
Syukur, masih ada yang mengingati
Kawan, lihat diriku ini
Kita hanya beza rupa hakikatnya sama
Tak terhindar salah padaNya
Bukankah kita telah berjanji pada Dia
Untuk saling menyayangi
KasihNya bawa kita ke SANA

Duniaku...
Tak seindah pandanganmu
Namun cukup...
Untukku dendangkan padamu
Lagu ini hari ini
Untuk kita renung kembali
Bila tiba masanya nanti
Apakah kau masih mendengar
Laguku ini..

Ingatlah kita suatu hari nanti
Semua pasti pergi tiada terkecuali
Pergi ke SANA menemui sejati
Dia yang bersemayam di arasy yang abadi

Waktu itu
Lagu ini tiada erti lagi
Dan pastinya tiada yang mendengarinya
Asalkan siapa yang ada sekarang bisa
Penilaian boleh dari yang terlarang

Janji dari Ilah-mu
Pasti hari ini dunia ini pasti berakhir

Ingatlah wahai semua musafir
Hari yang akhir
Hari yang akhir
Kian berakhir
Kian berakhir

Penyanyi: Akbar
Album : Alpha


"Kalau Umi Pergi, Siapa Akan Doakan Kamu.."


IBU MEMBERI, BUKAN MENERIMA


Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed (begitulah panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.

"Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?"
"Semua ibu istimewa"
"Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa.. Tapi keistimewaan seorang ibu dengan ibu lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?" pinta saya seakan merayu.

"Saya teringat..," Tuan Syed mula bercerita, "suatu hari semasa umi sangat uzur, dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah umi menuruni tangga.."

Saya mendengar penuh minat.


"Tiba-tiba umi berkata, umi risau, kalau umi meninggal nanti, siapa lagi yang akan doakan kamu!"

Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu, mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, "Kalau umi meninggal nanti, siapa di antara anak-anak umi yang akan doakan umi. Jangan lupakan umi ya?" Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya. Dia bimbang kalau tidak dapat 'memberi' sedangkan saya bimbang kalau tidak dapat 'menerima'

SIAPA LEBIH BERTUAH


"Apa kesan daripada kata-kata ibu Tuan Syed?" cungkil saya.
"Semenjak itu hingga kini...selepas lima tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya."

Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya 'terpukul'. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan... siapakah yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibu yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik?

Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi, akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi.. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : 'Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

Berkata Aqra : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.!"

Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."

(Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kerana Allah Untuk Manusia

HATI...

Assalamualaikum wbt kpd semua shbt2 sekalian... Entahlaa kenapa tergerak hati utk berkongsi gambar2 yg bertema HATI... Moga kita semua terpaut HATI kpd Allah dan Rasulullah saw







Penyepian Itu Diperlukan


Penyepian untuk sementara waktu.

Penyepian itu lebih besar maknanya pada masa kini.

Penyepian ini diperlukan untuk membetulkan dan membina motivasi dan semangat.

Penyepian itu diperlukan untuk memuhasabahkan diri atas kesilapan dan kelemahan yang telah dilakukan.

Tidak bersama-sama dlm saff bukan bermakna mengabaikan amanah dan tanggungjawab.

Menyepi diri bukan bermakna lari dari medan perjuangan.

Tidak juga bermaksud untuk melepaskan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Jiwa orang yang telah menyerahkan hidup ini pada ISLAM terlalu tersiksa dan menderita kerana tidak dapat bersama-sama dalam barisan hadapan dalam berjuang.

Wahai sahabat ku, teruskan perjuangan…Doa ku kirim sebagai pengganti jasad ini. Moga kalian ditabahkan dan diberikan pelbagai idea yang bernas dan kreatif untuk menyebarkan ISLAM di kampus.

Ingatlah wahai diri yang dhaif ini bahawa Allah tidak akan membebankan apa-apa yang tidak mampu kamu lakukan. Yakinlah bahawa ada ibrah dan hikmah Allah ingin engkau ambil pengajaran disebalik setiap perkara yang berlaku.

Moga terjawab pelbagai persoalan dan konflik dalam diri.