Monday, September 20, 2010

Respon Isu: Berhujahlah dengan Keluasan Ilmu Islam Bukan dengan Sentimen

Islam merupakan agama kerahmatan kepada seluruh makhluk yang berada diatas muka bumi ini bahkan yang berada di alam semesta ini. Kerahmatan ini meliputi seluruh sistem kehidupan yang berada di alam ini. Ini bersesuaian dengan apa yang telah Allah swt naqalkan dalam kalamNya iaitu al-Quran.

Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Beberapa isu yang timbulkan sejak kebelakangan ini berkenaan dengan Islam dan non muslim perlulah dilihat dalam kacamata hujah dan dalil. Bukan atas neraca kepentingan periuk nasi politik puak-puak tertentu. Sekiranya isu agama terus dipermainkan untuk kepentingan politik sempit sudah pasti gelaja islamphobia dikalangan non muslim akan terus menebal. Untuk itu, suka untuk penulis memberikan pandangan selaku golongan yang berdiri atas prinsip keilmuan dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dalam mana-mana parti politik.

Dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid dan Ruang Solat Utama di dalam Masjid. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa :
“ Pelancong bukan Islam diHARUSkan memasuki Masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan senantiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimana pun perbuatan berdoa atau bertafakkur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang."

Dalam fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan secara jelas menunjukkan keHARUSan non muslim untuk memasuki kawasan masjid. Walaubagaimanapun, tatacara pakaian juga perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan masjid dan surau agar ia tidak mendatangkan fitnah.

Penulis merasakan dengan adanya keputusan daripada badan agama yang berautoriti ini perlu dijadikan sandaran semua pihak agar isu ini tidak lagi menjadi modal politik murahan.

Pandangan agama yang melibatkan isu non muslim perlu ditangani dengan sebaiknya kerana jika tidak ia pasti mendatangkan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat non muslim terhadap Islam. Dikala dunia hari ini melabelkan Islam dengan pelbagai label seperti pengganas, tiada nilai toleransi dan sebagainya maka pandangan terhadap isu-isu non muslim janganlah menyuburkan lagi tuduhan palsu tersebut terhadap Islam.

Dalam isu doa kepada non muslim, penulis berpendapat terdapat keharusan kita mendoakan non-muslim dalam beberapa hal tertentu. Perkongsian ini boleh dijadikan asas perbincangan kita semua.


Dalam suatu peristiwa nabi saw didatangi seorang sahabat lalu berkata, “ sesungguhnya seorang dari Dausan (nama keluarga) telah derhaka dan enggan masuk islam, tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu nabi saw berdoa: Ya Allah, berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami.” ( riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam peristiwa yang lain, nabi saw juga pernah mendoakan agar ditinggikan (hidayah) Islam melalui salah seorang daripada dua umar iaitu umar al-khattab atau amru hisyam ( Abu Jahal) dan akhirnya Allah makbulkan doa nabi saw tersebut dengan Umar al-khattab memeluk Islam.

Dan beberapa peristiwa yang lain juga nabi saw pernah mendoakan hidayah kepada orang bukan Islam.


Namun demikian, para ulama juga membataskan doa kepada non muslim. Para ulama sepakat bahawa mendoakan orang bukan non muslim dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah di HARAMkan. Perkara ini disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab Majmu`;


“ adapun mendoakan orang kafir (bukan islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks al-Quran dan ijma ulama.”

Hukum berdoa kepada non muslim adalah bergantung kepada isi kandungan doanya. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti mendapat hidayah telah disepakati ulama atas keharusannya namun jika untuk mendapat keampunan, rahmat dan urusan akhirat disepakati haram.


[petikan artikel Ust Zaharuddin Abd Rahman]

Penulis juga ingin mengajak pembaca semua agar sumber berita yang kita kutip perlu diambil sumber yang sahih dan dinilai dengan adil kerana zaman ini terlalu banyak tersebar berita yang samar dan para pemberita kurang amanah dalam mengambil kata-kata pihak yang terlibat dalam beberapa isu. Ini sedikit sebanyak akan menimbulkan prasangka negatif dikalangan para pembaca sekiranya sifat amanah dan telus tidak dijadikan pakaian oleh para pemberita. Ingatlah setiap baris perkataan yang kita naqalkan (tulis) akan dipertanggungjawabkan oleh Allah dipadang mashyar nanti. Tulisan yang bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan ummat ini pasti tidak terlepas daripada azab Allah swt.

Secara kesimpulannya, demikianlah pandangan penulis terhadap isu yang berlaku disekitar negara kita baru-baru ini. Janganlah dalam keghairahan berpolitik, kita melihat segala-galanya dengan nilaian politik semata. Kita melupai soal-soal akidah dan akhlak muslim, persaudaraan Islam dan sebagainya yang menjadi tuntutan agama

No comments: