Friday, February 15, 2008

Ideology of Fear

Perut
.
KETAKUTAN…
.
Imam Syafie berkata bahawa sesiapa yang memikirkan hanya tentang perut mereka sahaja, nilainya adalah seperti apa yang keluar daripada perut mereka.
.
Khabarkan pada saya berapa ramai Muda-Mudi Malaysia yang berfikir tentang dunia.Yang berfikir tentang negara. Yang berfikir tentang masyarakat. Hatta berapa ramai yang berfikir tentang rakan di sebelah bilik mereka di asrama. Tidak kisah di mana kamu. Di Kolej MARA Banting. Atau di mana-mana Kolej Matrikulasi. Atau di UIA. Atau di mana-mana sahaja. Siapakah antara kamu Muda-Mudi Malaysia yang menjadi kaum yang berfikir? Afala tatafakkarun!

Yang Muda-Mudi Malaysia fikir hanya “perut”. “Perut” mereka hanya menggila ingin menjadi seorang pakar ekonomi walaupun pada akhirnya mereka tidak sedar mereka berkhidmat untuk siapa. “Perut” mereka hanya menggila ingin menjadi seorang doktor sedangkan mereka sedar punca penyakit masyarakat yang parah ini tidak dapat diubati dengan ubat kimia. Apakah Muda-Mudi Malaysia fikir mereka telah berbakti kepada masyarakat dan negara sedangkan mereka hanya membesarkan “perut” mereka sendiri?

Muda-Mudi Malaysia, rakan perjuanganku

Tidak sedarkah kita dari dahulu lagi, kita dibesarkan dengan satu suasana yang tidak ideal. Sewaktu kecil, kita diberitahu bahawa diluar sana terdapat hantu yang suka menculik budak-budak kecil. Alasannya, tidak mahu kita keluar dari rumah pada waktu malam. Sewaktu meningkat remaja sedikit, kita tidak disukai oleh guru jika bertanya tentang perkara-perkara di luar silibus atau perkara-perkara “pelik”. Kononnya, belum tiba masanya untuk kita tahu. Apabila sudah memasuki alam IPT pula, kita dihalang sekeras-kerasnya untuk mengambil tahu tentang hal negara atau sesetengah orang gelar ia sebagai “politik”.

Sama seperti cuba berdialog dengan Encik Katak, si Ahli PEKAK. Orang yang berada dalam suatu kepompong tidak sedar bahawa di luar sana ada satu dunia lain. Kalau sedar pun, merasakan tidak mampu atau tidak berguna untuk berada di luar sana. Aduhai. Kemudian saya memberi cuba memberi harapan kepada rakan saya itu. Sungguh! Setiap perjuangan bermula dengan keadaan lemah dan berseorangan. Persoalannya, mahu berubah dan bertindak atau tidak!

Bagi saya, punca mengapa kita boleh mengatakan “tidak mampu berbuat apa-apa” kerana kita telah dididik dengan “Ideology of Fear”. Tidak keluar rumah bukan kerana faham bahawa waktu malam tidak sesuai untuk keluar, tetapi kerana takutkan hantu. Tidak bertanya ketika dalam kelas kerana takut dikatakan mengganggu pembelajaran cikgu atau takut dikatakan mahu menguji keupayaan cikgu. Takut untuk berbicara soal negara pula kerana takut GAGAL dalam pembelajaran. Percayalah! Kita tidak akan gagal hanya kerana berfikir tentang masyarakat dan negara ketika di usia Muda-Mudi Malaysia ini. Kita takut untuk berbicara tentang politik kerana takut ditangkap.

Sungguh! Ini bukan soal kerajaan atau pembangkang. Ini soal sama ada kita ini rakyat yang berfikir atau menjadi Pak Turut sahaja. Sedarilah! Kita bukan hanya ada dua pihak sahaja di Malaysia - Barisan Alternatif dan Barisan Nasional. Bila kita berbicara tentang negara, kita tidak berbicara tentang soal partisan. Kita berbicara tentang soal Hak Asasi Rakyat. Bila kita ingin membawa perubahan, itu bukan bermaksud kita ingin menjadi pembangkang tegar kepada kerajaan. Kita bukan selamanya akan membangkang kerajaan kerana suatu hari nanti kerajaan itu milik kita. Sedarlah! Beranikanlah diri melontarkan idea!
.
Lihatlah kesan sistem pembesaran “Ideology of Fear” tersebut. Kesan yang tidak disangka-sangka. Ideologi yang telah menghasilkan Pak Turut. Ideologi yang menghasilkan “Mat Study Formal”. Ideologi yang menghasilkan pelajar yang takut bertanya. Ideologi yang menghasilkan manusia “Tak Mengapalah, Dah Nasib. Terima Sajalah”. Ideologi yang menghasilkan manusia yang tidak mahu bercampur dengan masyarakat hatta rakan sebelah bilik. Ideologi yang menghasilkan rakyat yang tidak berfikir tentang hak mereka. Ideologi yang telah terbukti menghasilkan masyarakat yang tidak berfikir.
.
Kamu sendiri yang memahami “perut” kamu dan hasil daripada “perut” kamu itu.

KETAKUTAN…

No comments:

There was an error in this gadget