Friday, February 15, 2008

PRO MAHASISWA MENGUTUK KERAS SEGALA BENTUK PENCEROBOHAN KE ATAS RUMAH IBADAT


Pro Mahasiswa Universiti Malaya hari ini menyatakan pendirian mengutuk keras segala bentuk keganasan dan pencerobohan yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu ke atas mana-mana rumah ibadat di negara ini.

Menurut jurucakap Pro Mahasiswa, saudara Ahmad Shahir B Abdul Aziz, hal ini amat bertentangan dengan nilai-nilai murni serta norma-norma kehidupan masyarakat di negara ini.

"Kita menolak dan mengutuk keras segala bentuk tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan ke atas rumah-rumah ibadat, tidak kira sama ada rumah ibadat orang Islam, Buddha, Hindu mahupun Kristian" katanya.

"Ini amat bertentangan dengan budaya dan amalan bangsa Malaysia, malah dalam Islam sendiri pun melarang penganutnya melakukan pencerobohan ke atas rumah ibadat penganut-penganut agama lain" ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pencerobohan Surau Al-Faizin, Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KK 2) Universiti Malaya.

Isu pencerobohan surau berkenaan mula berlaku pada 25 Januari lalu (jumaat), tetapi telah berlarutan sehingga 29 Januari ekoran tiada tindakan tegas yang diambil.

Anatara kegiatan pencerobohan yang dilakukan adalah seperti menconteng dinding surau berkenaan, melempar buku-buku agama, al-Quran dan sebagainya.

Dalam pada itu, menurut seorang warga kolej kediaman tersebut yang tidak mahu disiarkan namanya berkata, isu seumpama ini telah lama berlaku, namun tiada tindakan yang diambil malah ianya berlalu begitu sahaja.

Walaubagaimanapun, menurut saudara Shahir, beliau mengharapkan agar semua pihak khususnya orang melayu supaya bertenang dan tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi sendiri sebaliknya menyerahkan tugas ini kepada pihak polis untuk diambil tindakan. Ianya amat penting demi menjamin keselamatan rakyat dan ketenteraman negara.

Kelihatan delegasi Pro Mahasiswa saudara Shahir & Hilman
yang juga merupakan wakil MPMUM sedang berbincang bersama
Pengetua Kolej Kediaman berkenaan mengenai insiden tersebut


Selain itu, menurut Teh Hoong Kiat, tindakan menceroboh rumah ibadat adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Beliau yang juga jurucakap Pro Mahasiswa bagi kaum cina turut menggesa pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini dengan bijak.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut Exco Kerohanian dan Islam Hadhari Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya dari kem Pro Mahasiswa, saudara Mohd Faisal Mustaffa menjelaskan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa persatuan termasuk Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) untuk memastikan agar isu ini tidak berlaku lagi kerana ianya menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

No comments: