Monday, February 18, 2008

PMN rakam penghargaan kepada KPT atas kebenaran bertanding pilihan raya

Intan Abdullah
Mon | Feb 18, 08 | 4:27:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Parti Mahasiswa Negara (PMN) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed atas kenyataan membenarkan mereka bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

PMN menerusi satu kenyataan akhbarnya yang dihantar kepada Harakahdaily menggambarkan pendirian yang diambil KPT sebagai suatu petanda yang positif kepada perjuangan mahasiswa.

"Ia merupakan petanda baik kepada mahasiswa bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bukan lagi menjadi penghalang utama kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam mencorakkan masa depan negara.

"Kami amat menghormati undang-undang, kerana kemunculan kami dalam pilihan raya kali ini adalah salah satu usaha yang mengikut lunas dan prosedur," ujar Presiden PMN, Azlan Zainal dalam kenyataan itu.

PMN juga katanya, merasakan AUKU perlu dikaji semula bagi membolehkan pemansuhan kepada beberapa fasal yang mengekang keterlibatan pelajar dengan politik.

"Mana mungkin dapat melahirkan generasi warga negara yang baik jika mereka tidak didedahkan secara menyeluruh dengan pendidikan politik yang akhirnya boleh menimbulkan kesedaran dan bijak memilih pemimpin mereka sendiri," katanya.

Ujar Azlan lagi, adalah tidak wajar mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang prihatin dan peka ini dek kerana keterlibatan mereka secara langsung dalam kancah politik negara kerana ia adalah salah satu proses pembelajaran yang unik dan mematangkan mahasiswa selain membolehkan mahasiswa menunaikan amanah sebagai warga negara yang mewakili suara generasi muda Malaysia.

Pada pilihan raya ke-12 ini, Parlimen Kepala Batas, Parlimen Jeli dan Parlimen Semberong menjadi kawasan sasaran menandakan sikap optimis Parti Mahasiswa Negara (PMN) untuk terlibat secara langsung sebagai representasi Malaysia.

Dengan slogan "Mahasiswa Bersama Rakyat," generasi baru menuju ke arah Malaysia baru PMN menyatakan hasratnya yang bertujuan untuk memastikan dan mengangkat suara mahasiswa ke Parlimen Malaysia bagi membela hak rakyat dan membawa hasrat generasi muda secara terus kepada mantan pemimpin utama negara ini terutamanya pemimpin yang bertanggungjawab terus terhadap mahasiswa dan pelajar.

Dalam pada itu, PMN turut mencadangkan agar Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pelajaran mempunyai sekurang-kurangnya status bertaraf Professor, Professor Madya atau mempunyai PhD sebagai latar belakang pendidikan yang membolehkannya disegani dan dicontohi oleh para pelajar sebagai teladan yang baik.

Semalam, dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, PMN telah menyatakan untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas bagi menentang Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi secara satu lawan satu.

Begitupun, permintaan mereka untuk mencapai tujuan itu masih belum diberikan jawapan oleh pihak pembangkang yang masih belum menamakan calon di kawasan itu. - mns

No comments:

There was an error in this gadget