Friday, July 18, 2008

"Kalau Umi Pergi, Siapa Akan Doakan Kamu.."


IBU MEMBERI, BUKAN MENERIMA


Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed (begitulah panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.

"Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?"
"Semua ibu istimewa"
"Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa.. Tapi keistimewaan seorang ibu dengan ibu lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?" pinta saya seakan merayu.

"Saya teringat..," Tuan Syed mula bercerita, "suatu hari semasa umi sangat uzur, dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah umi menuruni tangga.."

Saya mendengar penuh minat.


"Tiba-tiba umi berkata, umi risau, kalau umi meninggal nanti, siapa lagi yang akan doakan kamu!"

Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu, mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, "Kalau umi meninggal nanti, siapa di antara anak-anak umi yang akan doakan umi. Jangan lupakan umi ya?" Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya. Dia bimbang kalau tidak dapat 'memberi' sedangkan saya bimbang kalau tidak dapat 'menerima'

SIAPA LEBIH BERTUAH


"Apa kesan daripada kata-kata ibu Tuan Syed?" cungkil saya.
"Semenjak itu hingga kini...selepas lima tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya."

Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya 'terpukul'. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan... siapakah yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibu yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik?

Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi, akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi.. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : 'Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

Berkata Aqra : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.!"

Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."

(Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kerana Allah Untuk Manusia

2 comments:

mutiarabernilai said...

salam...

'the more u give, the more u get back... '

itu sunnatullah.. janji Allah.. Dia akan memberi setimpal dgn ape y kita beri..

wallahualam..salam

syahid said...

betul-betul....

Erti Hidup Pada Memberi...

There was an error in this gadget