Wednesday, May 6, 2009

Hajat yang tidak kesampaiannya….

" Amin… Da abis ke diskusi bersama NC?" aku menaip sms itu sebaik sampai sekitar kawasan Skudai.

"baru je abis… menarik" balas Amin pendek.

Terasa kerugian hari ini kerana terlepas menghadiri diskusi buku tulisan Naib Cancelor UTM Dato` Prof Dr. Ir Zaini Ujang; 'Mengangkasa Pengajian Tinggi'.

Alhamdulillah buku setebal lebih kurang 300 muka surat telah dikhatamkan dalam masa sehari kerana ingin mengikuti diskusi buku pada petang ini. Tapi perancangan Allah mengatasi perancanganku…

Tiada rezeki kata orang.

Buku yang memaparkan tentang ulasan,kritikan, dan cadangan yang bernas lagi kritis berkaitan tentang sistem pendidikan tinggi negara. Buku yang sangat segar dan padat dengan maklumat samada yang bersumberkan dari ilmuwan Islam dan Barat.

Penulis telah berjaya mengagaskan beberapa gagasan untuk dilaksanakan diperingkat pengajian tinggi untuk menaiktarafkan universiti tempatan dipersada antarabangsa. Perkara ini sejajar dengan wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Penulis juga telah memberikan ulasan yang agak menarik tentang senario Universiti pada zaman kini. Universiti bukan lagi 'menara gading' tetapi sekadar 'kilang siswazah'. Tuntutan semasa menjadi matlamat utama kebanyakan universiti pada masa kini. Falsafah dan fungsi asalnya telah pun dinodai dek perkembangan yang berlaku.

Kebanyakan universiti tempatan pada hari ini telah hilang tradisi keintelektuan dan budaya keilmuan para penghuninya kerana masing-masing mengejar tuntutan semasa.

Penulis beberapa kali menegaskan dalam beberapa tajuk bahawa sejak kebelakangan ini idealisme asal universiti itu ditubuhkan telah semakin pudar.

"Sedikit demi sedikit falsafah, gagasan dan matlamat hakiki sebahagian universiti tersebut semakin pudar,dan akhirnya tersudut untuk menumpu kepada peranan penghasilan kelompok inteligensia bagi memenuhi keperluan pasaran kerja."

"…golongan intelektual di universiti perlu menyorot sejarah perkembangan intelektualisme agar idealism sesebuah universiti dapat disubur, dipertahan, dan direalisasikan serta berusaha menyumbang memperkasa wadah dan suasana keilmuan untuk pembangunan umat dan negara. Tanpa idealisme yang mantap dan jelas maka sukar untuk membina tradisi ilmu yang cemerlang, gemilang dan terbilang"

Aku semakin terpesona dengan perbincangan yang diutarakan oleh penulis. Seperti yang pernah aku katakan dalam entry sebelum ini dengan membaca kita dapat menganalisis dan 'membaca' corak pemikiran penulis sesebuah buku dengan lebih telus dan ikhlas.

Universiti adalah destinasi tertinggi bagi seorang penuntut ilmu. Bermula dengan tadika, Sekolah rendah, Sekolah Menengah, matrikulasi @ politeknik dan akhirnya universiti. Sudah pastinya khazanah ilmu yang terdapat dalam universiti jauh lebih kehadapan.

Aku mengucapkan syukur kepada ilahi kerana telah mentakdirkan dipimpin oleh seorang insan yang sangat menyanjung dan begitu gigih mempertahankan tradisi keilmuan yang sememangnya menjadi tuntutan kepada seorang muslim.

Islam adalah agama yang berteraskan ilmu.

Ilmu itu cahaya yang mendapat menerangi para pendokong dalam kegelapan dan kesamaran. Dengan ilmu seseorang dipandang tinggi oleh kawan dan lawan.

Teringat ulasan awal ust Hasrizal dalam buku terbarunya 'Rindu Bau Pohon Tin'. Dalam mukadimah buku ini ust Hazrizal telah mengupas dengan panjang lebar ayat 122 dari surah At-Taubat.

"dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

Sebaik tiba dibilik aku terus membuka laptop roommate untuk menulis rasa hati yang kecewa dan sedih dengan peristiwa hari ini. Tapi aku yakin ada hikmah disebalik peristiwa hari ini.

Akhirnya… aku mengharapkan agar dapat mengikuti diskusi buku ini pada masa akan datang memandangkan ianya merupakan suatu buku yang sangat besar manfaatnya kepada perkembangan sistem pendidikan tinggi negara.

"Ya Allah semoga aku dapat mencontohi kebaikan yang ada pada penulis buku 'Mengangkasa Pengajian Tinggi' YA Allah lepaskanlah diriku dari dosa yang tidak terampun, hati yang tidak bersih dan semangat juang yang tidak membara"

2 comments:

firdaus said...

salam bro, iluv tok guru as well. minta izin nak link kan blog

Unknown said...

syam bila balik tawau??? Takkan da jadi pemuda johor...