Thursday, December 31, 2009

KEPIMPINAN: KUASA BUKAN SENJATA UTAMA

OLEH: MOHAMMAD ZAKI BIN HARON

Kepimpinan di dalam Islam meletakkan dua syarat utama iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Al-Quwwah iaitu kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan yang dipimpin manakala al-Amanah ialah nilai amanah dalam diri.

Ini berdasarkan kepada firman Allah swt yang bermaksud:

"Salah seorang di antara perempuan Yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah Dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang Yang ayah ambil bekerja ialah orang Yang Kuat (al-quwwah), lagi amanah (al-amin)" (Al-Qasas: 26)

Sarjana Islam yang agung Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) telah membahaskan soal kelayakan kepimpinan ini dengan begitu menarik. Para sarjana Islam seperti Ibn Taimiyyah telah pun mendahului tajuk ratusan tahun sebelum munculnya penulis-penulis Barat yang dikagumi oleh sesetengah pihak.

Saya tertarik dengan ulasan Imam Ibn Taimiyyah mengenai al-Quwwah dan al-Amin.

"Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Dan al-amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia."

Saya juga amat tertarik dengan dialog yang berlaku antara Rasulullah saw dengan seorang sahabatnya yang mulia iaitu Abu Zar ra.

"Aku (Abu Zar ra) bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?" Baginda menepuk bahuku dan bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim).

Rasulullah saw telah memberikan signal yang jelas kepada kita semua bahawa jawatan atau persoalan kepimpinan perlu diberikan kepada ahlinya. Bukan hanya kekuatan dalaman semata-mata tapi memerlukan gandingan kekuatan luaran.

Walaupun Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah kepimpinan dan politik berhajat ciri-ciri yang lebih dari itu, bukan sekadar warak dan soleh sahaja. Justeru itu, tidak semua sahabat layak mengendalikan urusan siasah seperti al-Khulafa al-Rasyidun.

Huraian yang dibuat oleh John C. Maxwell di dalam bukunya Becoming A Person of Influencejuga telah mencuri tumpuan saya apabila beliau berbicara berkenan tentang kepimpinan. Kepimpinan adalah salah satu cara mengaplikasikan pengaruh.

Setiap manusia ada pengaruh. Pengaruh itu bermaksud, dirinya berhubung dengan seseorang dan hubungan itu memberi bekas. Ada yang memberi pengaruh positif, ada yang memberi pengaruh negatif. Tetapi jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.

Menurut beliau, kepimpinan ini dibahagikan kepada lima peringkat. Kepimpinan lazimnya bermula dengan kedudukan dan jawatan (POSITION). Jawatan dan kuasa, adalah 'lesen' yang memudahkan laluan seseorang berperanan. Akan tetapi, lesen itu hanya pengiktirafan kepada kualiti asasnya sebagai ketua dan pemimpin. Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan.

Akan tetapi, Seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang adalah pemimpin yang berjaya sampai ke peringkat kelima. Kepimpinannya bukan hanya memberikan kesan kepada soal taraf kehidupan pengikut, atau kejayaan karier mereka, malah berjaya membentuk pengikutnya menjadi insan yang cemerlang, hasil pengaruh dirinya sendiri ke atas mereka yang dipimpin (PERSONHOOD). Ia sukar untuk dicapai, kecuali selepas seseorang itu menghabiskan seluruh umurnya untuk membangunkan manusia mencapai potensi terbaik mereka.

Michael H. Hart dalam bukunya yang bertajuk "The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History" telah meletakkan Nabi Muhammad S.A.W di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri lantaran PENGARUH dan faktor inilah yang menjadikan kehidupan seseorang itu sangat signifikan kepada manusia yang lain

Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.

Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri.

"PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI"

Ciri-ciri inilah yang mesti dibangunkan oleh setiap kita sebagai seorang individu Muslim yang cemerlang.

Oleh itu, setiap golongan mahasiswa perlu celik dan sedar tentang peranan memilih pemimpin yang tergalas di bahu mereka untuk mengetengahkan pemimpin yang benar-benar layak untuk dinobatkan sebagai pemimpin golongan mahasiswa dalam pilihanraya kampus kali ini.

Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi.

Saudara Zaki Bin Haron merupakan Timbalan Presiden (PMIUTM) bagi sesi 2009/2010. Beliau merupakan pelajar tahun kedua Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan). Beliau pernah menjawat jawatan Exco ProM MPPUTM semasa belajar diUTMKL.

No comments: