Wednesday, January 6, 2010

Isu Kalimah Allah bertiup sepoi dibumi UTM

Laungan Allahu Akbar sekali lagi bergema di bumi UTM. Jika sebelum ini laungan tersebut bergema lantaran bantahan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) ke atas penindasan Israel ke atas rakyat Palestin. Tetapi kali ini, laungan yang sama digunakan oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Evolusi Mahasiswa (EvoM) untuk menghantar isyarat mereka dalam bantahan penggunaan kalimah Allah untuk agama Kristian.

Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut tentang perkara ini kerana saya bukanlah AHLInya. Rakan-rakan boleh membuka blog yang saya senaraikan ini untuk membaca pandangan mereka dalam mengulas isu ini. Kemudian timbanglah dan tetapkan pendirian masing-masing. Jadikan dalil dan hujah yang sahih sebagai pegangan kita sebagai seorang mahasiswa. Bukan sekadar luahan emosi yang tidak tentu pasal. Ingatlah akan firman Allah swt.

“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” (alHujurat:6)

#klik pada nama blog dibawah

Antara isu yang saya cuba ingin lontarkan kepada rakan mahasiswa sekalian untuk anda fikirkan adalah kita sebagai warga ilmuan, perlu menjadikan isu ini sebagai medan untuk kita berdiskusi dengan warga non-kampus yang bilangan mereka bukan sedikit dalam kampus ini. Sewajarnya MPP menyediakan pentas dan platform membuat penerangan kepada non muslim tentang isu ini. Dengan baki-baki masa yang ada untuk MPP gunakan sepenuhnya untuk kebaikan ISLAM dan warga kampus. (Anda masih mampu mengubahnya walaupun masa pembubaran semakin hampir.) Dengan tenaga kepakaran daripada Fakulti Tamadun Islam(FTI) boleh disinergikan kerana para sarjana daripada fakulti itu bukan calang-calang orangnya. Mereka boleh memberikan pandangan yang bernas dan jalan penyelesaian mengenai isu ini. Bukankah ini cara yang lebih intelek dan mahabbah? Bukan sahaja kepada warga muslim tetapi warga non muslim kampus.

Bukan sekadar menghantar surat bantahan melalui himpunan tersebut tetapi perkara yang lebih penting adalah bagaimana kita sebagai umat Islam menangani dan menguruskan isu ini dengan bijaksana. Memberikan kefahaman dan penjelasan itu lebih menampakkan kita sebagai umat Islam yang matang dan tidak mudah melata dengan provokasi daripada pihak musuh. Ini sekaligus dapat meruntuhkan sedikit demi sedikit tembok Islamphobia antara kita dengan warga non muslim.

Isu keduanya yang saya ingin bangkitkan adalah supaya isu ini TIDAK diambil kesempatan untuk kepentingan puak-puak tertentu. Berdasarkan pengamatan saya sepanjang himpunan yang dibuat oleh pihak EvoM dan MPP semacam ada niat tersirat disebalik himpunan tersebut (sempat lagi memperkenalkan calon). Buktinya, jika sekiranya MPP&EvoM betul-betul ikhlas dan berniat jujur dalam isu ini sepatutnya MPP&EvoM membuat pengumuman secara meluas sebelum himpunan ini dibuat. Ini untuk memastikan semua warga kampus dapat menyertai bantahan tersebut. Bukan sekadar mereka yang berbaju merah sahaja yang memonopoli himpunan itu. Hal ini disebabkan isu ini isu umat Islam… Bukan isu MPP&EvoM sahaja!!!

Seterusnya,saya ingin mempersoalkan layanan istimewa yang diberikan oleh pihak keselamatan sewaktu himpunan ini berlangsung. Pihak keselamatan lebih bersifat rasional dan matang dalam himpunan kali ini. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) telah melakukan himpunan aman untuk melahirkan rasa kekecewaan dan bantahan terhadap pembantaian tidak berperikemanusian Israel terhadap rakyat Palestin tetapi malangnya tidak mendapat layanan istimewa seperti EvoM.

Sebagai contoh Presiden PMI ketika itu Saudara Mohd Amin telah disoal siasat oleh pegawai keselamatan tidak kurang dari 2jam! Saya dan rakan-rakan lain bersama-sama beliau ketika itu. Tetapi kali ini pihak keselamatan universiti lebih bersifat lembut dengan tidak melakukan sebarang tindakan seperti merampas banner atau poster yang digunakan oleh peserta himpunan. Tidak dapat dipastikan kenapa tindakan berbeza kali ini. Adakah kerana himpunan kali dibuat oleh pihak EvoM maka ia di’restui’? Saya masih mencari-cari jawapannya.

Saya berani melontarkan perkara ini untuk menyeru kepada semua peringkat samada pihak pentadbiran mahupun mahasiswa supaya bertindak atas landasan keadilan dan kesaksamaan.

Terlalu banyak ayat Quran meminta supaya kita bertindak dengan adil dan saksama hatta dengan orang yang kita tidak suka (baca benci) sekalipun.

“Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.” (al-maidah:8)

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa Yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang Yang khianat.” (An-Nisa:105)

Hal ini yang amat dititikberatkan oleh rasulullah saw khususnya kepada mereka yang memegang kuasa atas muka bumi ini. Hatta dengan musuh Islam sekalipun Allah swt mengajarkan kita supaya berlaku adil. Lihatlah ayat ini,

“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan Segala Yang haram (rasuah dan sebagainya). oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.” (al-Maidah:42)

Akhirnya, saya mengharapkan agar teguran dan lontar ini dapat memberikan sedikit sudut pandang yang berbeza kepada warga mahasiswa sekalian. Saya akhiri dengan sama-sama kita menghayati maksud ayat ini,

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.” (al-a`raf:179)

No comments: