Friday, January 25, 2008

Pandangan Terhadap Tarbiah Kampus....

"Tiada petunjuk yang terbaik melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw." Kata seorang ustaz ketika majlis ilmu berlangsung di dalam kampus.

Ana teringat akan kata-kata Imam Malik, beliau mengatakan bahawa untuk menjadi umat yang terbaik maka formulanya adalah dari umat yang terbaik. Maka umat yang terbaik pernah wujud di muka alam ini adalah zaman rasulullah saw dan para sahabat.

Oleh itu, kita mesti sentiasa tengok sirah yang berlaku dizaman Rasulullah saw agar kita dapat mengambil pengajaran.

Perasaan Ingin Berubah

Dari perasaan ingin berubah dan mendokong risalah kenabian. Ana mula merubah watak dan personaliti diri. Kena yakin bahawa untuk mengajak orang kepada Allah swt. diri sendiri kena berubah terlebih dahulu. Akhlak itu alat yang paling berkesan untuk menawan hati manusia.

Apa yang ana lontakan ini merupakan suatu pandangan dan analisis terhadap sejauhmanakah tarbiah kampus telah melahirkan para amilin??? Kerana berapa ramai aktivis kampus gugur dek kewajipan yang lebih besar daripada dakwah. (alasan yang selalu diberikan)

Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum malam melabuhkan tirainya.

Kita meneruskan perjuangan bukan mewarisi perjuangan. Kita dianugerahkan akal dan hati untuk menilai.

Dibawah ini adalah hasil tulisan ust hazrizal. Ana mengharapkan kita semua membuka mata hati kita untuk menilai gerak kerja tarbiah kita. Semoga perjuangan kita ini mendapat keredhaan Allah swt.


HASAN AL-BANNA DARI KACA MATA ABBAS AL-SISI

Saya sentiasa ingat kisah yang diceritakan oleh Abbas Al-Sisi di dalam bukunya 'Jalan Menuju Hati'  tentang pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwahnya.

Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Apabila Hasan al-Banna melihatnya, beliau berkata, "Assalamualaikum ya Muhammad".

Lelaki itu amat terkejut. Bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, "aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!"

Begitu sekali Hasan al-Banna sensitif dalam memenangi hati manusia di sekitarnya. Ia bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang mempercayai bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.


SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA

Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.

"Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!", kata seorang penyelia kursus.

"Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan", kata pengarah sebuah program induksi pelajar.

Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.

Apa alasan berbuat demikian?

Mahu membina ketahanan mental.

Ketahanan mental atau masalah mental?

TENTERA LAIN

Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi SAW, yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang nature kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.

Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.

Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.

Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!

Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.

Kita sibuk melatih kader dakwah agar tahan lasak, akhirnya majoriti kecundang sebab kesenangan hidup, bukannya kerana kepayahan.

INSIDE OUT

Tetapi saya percaya bahawa manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah inside-out. Perubahan mesti datang dari dalam. Jika perubahan yang dimahukan itu adalah perubahan sikap, perubahan budaya kerja, semuanya membabitkan soal dalaman manusia. Maka proses mengubah manusia, mesti bersifat manusiawi.

Lihat sahaja gerakan Missionary Kristian. Mereka bukan menyampaikan ilmu tentang Bible tetapi mereka menawarkan kepedulian. Dengan kepedulian itu, ia bisa menarik orang untuk terbuka menerima idea perubahan.

Kepedulian bukan ilmu. Jauh sekali indoktrinasi. Ia adalah sikap dan akhlak seorang fasilitator, penceramah dan guru. Kepedulian itu adalah jelmaan perasaan, dan manusia saling berhubung dengan perasaan… bukannya ilmu.

Orang peduli apa, kamu banyak ilmu sampai ke puncak gunung, kalau kamu tidak berjaya menunjukkan prihatin kamu kepada orang lain.

Bahkan Nabi SAW sendiri dikenang dan dikasihi, adalah atas kasih sayangnya kepada umat. Soal ilmu yang diajar sebagai santapan akal, mungkin 7%, tetapi sentuhan akhlak baginda yang tinggi. Keprihatinan baginda, terserlah di dalam peristiwa baginda pergi melawat wanita Yahudi yang tiba-tiba tidak muncul hari itu untuk seperti biasa menyakiti baginda.

Saya ulangi kembali, "people done care how much you know until they know how much you care

Jika anda buat program untuk tunjuk pandai, maka bertarunglah anda dengan tindakan peserta yang memperlekeh, buat dunno, atau membalas kembali hujah anda dengan bidasan yang memalukan diri.

Tetapi jika anda buat program untuk memandaikan peserta mengurus kehidupan, maka berikan keselesaan kepada mereka, tenangkan mereka, menangi hati mereka dan berikan apa yang mereka perlu, bukannya apa yang anda tahu.

Kita mahukan dari peserta itu perHATIan, bukannya perAKALan. Jika hati yang mahu dimenangi, binalah jambatan, bukannya tembok.

JADUAL YANG RIGID

Di antara penyakit pelajar semasa menganjurkan program, mereka sangat rigid dengan kepatuhan masa berdasarkan apa yang dilakarkan di atas kertas jadual program.

Walhal jadual masa itu bukannya ada asas pun. Ia tidak dibuat berdasarkan kajian terhadap realiti peserta.

Makan buffet, peserta 100 orang, tempoh masa makan yang diberi ialah 1 jam. Itu tidak realistik namanya. Anda merancang untuk mencacatkan program anda sendiri.

Saya percaya, jadual mesti ada ruang anjal. Dalam jadual asal, kita tetapkan sesi tengah hari bermula pada jam 2:30 petang. Tetapi jika peserta kelihatan penat, kita boleh tawarkan peserta untuk melewatkan sesi itu kepada 3:30 petang supaya mereka sempat tidur sekejap. Cumanya, jika semua orang telah bersetuju begitu, maka semua orang kenalah tidur dan bukannya bersembang atau menonton TV.

Maka ketepatan masa, akan diukur pada masa baru yang telah dipersetujui bersama.

Saya rasa sangat badut apabila memaksa juga peserta mendengar ceramah saya dalam keadaan mereka sudah hilang upaya untuk mendengar.

Apatah lagi, jika pelajar yang menganjurkan Tamrin mahu menjana pemikiran Islam peserta, tetapi alat utama pemikiran itu ialah AKAL dan HATI sudah dimusnahkan oleh tidur yang dipotong-potong, dan hati yang disakit-sakitkan.

Ujian kelasakan fizikal, lakukan pada sesi kelasakan fizikal.

Tetapi mulakan dahulu dengan rombakan akal dan kefahaman. Rasulullah SAW tidak melatih sahabat berlaku lasak. Tetapi input kepercayaan yang teguh, menjadikan mereka lebih lasak dari mana-mana pencapaian sejarah manusia. Seorang wanita pun boleh jadi besi dengan sentuhan yang menjunam ke hati. Tanya sahaja Sumayyah, wanita syahidah pertama… kekuatan apakah yang membolehkan beliau memilih mati?

Itu dalam sejarah. Kita boleh mengeluh jika generasi manusia ini makin kemudian makin ’manja’. Khususnya di zaman generasi yang sangat bebas berfikir ini. Tetapi itulah realitinya. Nak dimarah pun, generasi hari ini adalah begitu. Mereka mungkin lemah fizikal, tetapi mereka berani dan ganas fikiran.

Keberanian berfikir yang ada pada generasi muda hari ini, tidak membolehkan mereka memaafkan pembodohan secara mudah. Perbuatan mendoktrin dan memaksa idea hanyalah manifestasi kedangkalan penganjur yang gagal memahami bagaimana manusia berubah.

Manusia boleh ada hati sekeras batu. Jika anda mahu memecahkan batu itu, anda boleh mengetuknya dengan penukul. Tetapi jika anda mahu membentuk batu itu, maka ia memerlukan kesabaran seperti air yang sabar menitik ke atas batu, lantas beroleh kejayaan.

Di dalam setiap program, jika gagal mendapatkan kawan sekali pun, janganlah membanyak biakkan lawan.

Hormati maruah manusia, menangi hati mereka, berhubunglah sesama manusia secara manusiawi kerana manusia tidak pernah peduli sebanyak mana yang kamu tahu, hinggalah mereka tahu sejauh mana kamu peduli.

Bina jambatan… bukan tembok yang memisahkan.aliimran159.JPG

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aal Imraan 3: 159)

No comments:

There was an error in this gadget