Friday, April 11, 2008

Mencari Kesembuhan dari Kuasa Allah melalui usaha manusia

Oleh : abufateh


هناك فرق كبير بين العلاج والشفاء
هناك فرق كبير بين المراجعة والنجاح


"Di sana terdapat perbezaan yang besar antara rawatan dan kesembuhan
dan perbezaan yang ketara antara mengulangkaji pelajaran dan kejayaan"

Tegas Dr. Husam Muafi dalam kuliahnya, khamis lepas. Walaupun topik asal beliau ialah agar pelajar-pelajar menggandakan usaha dalam pelajaran sempena semester break kali ini, namun rangkap kata ini cukup bermakna untuk tatapan kita bersama.

Jadi mengapa perlu kepada rawatan apabila kita sakit? Juga usaha menekuni buku-buku yang terkadang menjemukan untuk sebuah kejayaan? Jawapannya mudah, rawatan dan membaca adalah ‘usaha’ namun kesudahannya hanyalah satu ketentuan dari Allah Ta’ala. Inilah akidah kita.

Usaha yang setimpal pastinya akan mendapat hasil yang setara mengikut tahap kudarat yang kita curahkan, namun bagi kita sebagai muslim ‘doa’ adalah senjata terakhir untuk sebuah keberhasilan. Doa diiringi dengan tawakal, roja’ (pengharapan) dan jiwa tanpa putus asa.

Terkadang kita mungkin terlupa pergantungan kepada Alllah SWT tika mana terasa usaha yang telah dikerahkan sudah mencukupi lagi memadai untuk sesuatu tujuan. Kita insan yang berTuhan, jangan lupakan kuasa yang mentadbir segala-galanya.

Kita hanya berusaha.

Saya agak tekilan dengan sikap segelintir individu yang taasub terhadap satu-satu aliran perubatan seterusnya menganggap perubatan yang lainnya silap, tidak kena dengan method kesembuhan penyakit yang sebenar dan sebagainya.

Berlakulah pertembungan antara aliran perubatan moden, homopathy, perubatan tradisional dan pelbagai aliran perubatan alternatif yang makin bercambah di negara kita. Kutuk mengutuk, sindir menyindir sedikit sebanyak berlaku antara pendokong dan penyokong aliran masing-masing. ‘Saya betul kamu silap.’

Inilah realiti khilaf dalam dunia perubatan, bukan sahaja khilaf dalam kefahaman beragama di antara umat Islam sahaja yang berlaku.

Juteru saya ingin membawa kita kembali kepada konsep rawatan dan kesembuhan yang hakiki. Rawatan adalah usaha yang dilakukan untuk mendapatkan kesembuhan daripada penyakit atau mengekangnya daripada menganggu kerja buat kita sehari-hari, dengan kata lain rawatan perubatan tidak kira daripada mana cabang ilmu perubatan adalah untuk memberikan dan meneruskan kualiti kesihatan seseorang individu. Semuanya adalah dengan usaha makhluk.

Manakala konsep kesembuhan pula, sembuh bukannya kuasa kemampuan individu yang berusaha. Ianya adalah anugerah Allah Ta’ala, bukan kuasa teknologi perubatan moden, juga bukan kemampuan rawatan homopathy dan kehebatan seseorang bomoh tradisional. Justeru, sewajarnya pengamal perubatan peka dengan fakta ini. Kita berusaha Allah penentu segalanya.

Justeru mengapa masih mendabik dada dengan perubatan saya betul dan hebat, rawatan kamu silap dan lemah. Pada saya, carilah rawatan daripada punca mana sekalipun, biar tanpa kajian saintifik yang membuktikan keberkesanannya, selagi mana ianya tidak membawa kepada unsur syirik dan khurafat, teruskan. Usaha adalah tugas kita, kesembuhan adalah bidang kuasa Allah Ta’ala.


Doa sebagai pemangkin

Doa mampu memberikan manfaat kepada makhluk dengan izin Allah. Masakan ianya tiada manfaat bilamana ayat Allah banyak menyarankan kepada kita agar ‘meminta-minta’ kepadaNya. Tiada jemu bagi Allah dalam melayan permintaan hamba.

Bahkan para anbiya dan nabi saw turut bermunajat memohon pertolongan. Sekadar renungan kita bersama saya bawakan beberapa saranan al-Quran dan hadis Nabi saw kepada kita agar terus dan terus ‘meminta-minta’ kepada Allah.


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِي إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah, ayat 186)


Firman Allah yang bermaksud :

"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina." (Surah Gahfir, ayat 60)

Sabda Nabi saw :

‘Doa adalah ibadat’ (Riwayat tarmizi)

‘Doa adalah Ibadat’ (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim)

InsyaAllah saya akan cuba panjangkan tajuk berkenaan doa dalam artikel yang keseterusnya untuk tidak memanjangkan kalam. Namun sebagai renungan ingatlah bahawa doa hakikatnya umpama ubat, terkadang ianya memberi kesan kepada kita dan terkadang tidak. Semuanya bergantung kerpada kehendak Allah Ta’ala. Namun ‘meminta-minta’ kepada Allah adalah galakan dalam beragama, tanda kita bertuhan dan tunduknya seorang hamba kepada tuannya.

Akhirilah usaha dengan pergantungan kepada Allah

Iman kita kepada kekuasaan Allah bukannya sekadar luahan bicara mulut namun biarlah ianya ditancap kejap di lubuk hati. Usaha tidak kira dalam apa jua matlamat kita, sandarkan keputusannya kepada Allah dengan limpahan doa munajat.

No comments: