Monday, February 23, 2009

Genaplah Umur Ku 23 Tahun....

Hari demi hari berlalu… Rupanya ana semakin dewasa. Tidak sedar hari ulang tahun baru-baru ini. Genaplah umur 23 tahun bagi ana pada tahun ini. Ya Allah, terasa diri ini terlalu banyak kekurangan.

Dalam melayari bahtera kehidupan sepanjang 23 tahun ini. Banyak kenangan manis dan pahit yang telah dilalui. Sedikit demi sedikit ana cuba ,mengenal erti kehidupan di alam fana ini. Ada kalanya ana tewas tersungkur di depan pintu dosa namun kucuba gagahkan diri berdiri ke kembali merapatkan saff untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Begitulah rupanya kehidupan ini.. pentas untuk menguji para hambaNya. Pentas untuk mengukir sejauh manakah dia teringat akan penciptanya. Pentas untuk melihat sejauhmanakah dia bersyukur atas nikmat yang diberikan kepadanya.

“ Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun. ” (al-Mulk;2)

Dalam melayari bahtera hidup yang semakin meningkat dewasa ini. Pelbagai persiapan yang perlu ana lakukan sebelum nyawa yang dipinjamkan ini di tarik balik oleh Allah swt. Perjalanan yang tidak berhujung itu memerlukan bekal yang bukan sedikit.

Teringat akan pesanan insan teragung nabi saw hidup di atas muka bumi ini adalah ibarat seorang musafir yang singgah sebentar dibawah sebatang pokok untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Dalam berehat ini kadang-kadang terleka dek buah yang merimbun, mengkhayal kehidupan yang senang dan sebagainya sehingga dia terlupa akan destinasi yang bakal ditempuhinya selepas itu.

Begitulah juga dengan kehidupan atas muka bumi ini. Terlalu banyak perkara yang menyebabkan kita melupakan Allah swt. Hingga kadang-kadang tak sempat nak meluangkan masa untuk berzikir, membaca al-Quran hatta 10 ayat sehari. Ya Allah…

Dalam kerendahan diri dan tangan yang penuh dengan dosa ini ana menadah kedua belah tangan memanjatkan sesuatu.

“ Ya Allah kurangnya amal ibadahku, banyaknya dosaku dan terlalu banyak kesilapan yang aku lakukan. Bak pepasir di tepian pantai. Tiada yang lebih berharga dalam hidup ini ya Allah selain mendapat keampunan Mu dan keredhaanMu. Ya Allah, aku sedar aku telah banyak melakukan dosa samada yang dalam tersembunyi mahupun terbuka. Samada aku sedari atau tidak… Maafkan aku ya Allah..Ya Allah aku takut takutkan neraka mu.. Engkau gantikanlah sifat mazmumah dalam hati ku ini dengan sifat-sifat mahmudah ya Allah.”

Moga tahun 2009 lebih mendekatkan aku dengan Mu… Amin…

16 Februari 2009

No comments: