Thursday, September 10, 2009

Respon isu kepala lembu

Semenjak minggu lepas, isu pemindahan kuil dari seksyen 19 ke seksyen 23 menjadi focus para media massa eletronik mahupun cetak. Pertikaman lidah antara puak yang menyokong dan membantah terus membelit isu ini. Terbaru, selepas sesi dialog bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyaksikan beberapa insiden yang cukup memalukan. Memalukan kepada Islam dan Melayu.

Kenapa saya mengatakan demikian? Ini kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya mencemuh ajaran agama orang lain. Apatah lagi menghina lambang yang menjadi kesucian agama lain. Saya menulis isu ini bukan untuk menjelaskan perkara teknikal dalam isu ini tapi sekadar ‘hadiah’ musahasabah buat saudara seislam saya yang tinggal di seksyen 23. Bukan untuk membela kerajaan negeri atau menyokong mana-mana pihak. Semoga selepas membaca komentar ini akan menjadi kita lebih rasional dan tolenransi.

Beberapa soalan saya ingin lontarkan kepada anda semua…

· Betulkah dalam kawasan majoriti penduduk umat Islam maka rumah ibadat agama lain tidak boleh dibina?

· Wajarkah kita menghina lambang kesucian umat lain selain Islam?

Baru-baru ini, saya sempat menghabiskan buku terbaru Tuan Guru Hj. Hadi Awang yang bertajuk “ISLAM Adil Untuk Semua”. Alhamdulillah telah mencerahkan kembali pemikiran saya tentang keadilan Islam dalam pelbagai sudut.

Apabila isu ini menjadi panas, terus saya teringat akan perbincangan yang sangat menarik dalam buku ini. Saya menyarankan agar orang muslim seksyen 23 membaca buku ini. Moga Allah mencampakkan nur Islam pada hati kita.

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim, walaupun sebesar debu paling halus” ( An-Nisa:40)

Masya Allah, terpaku saya bila penulis memulakan penulisan buku ini dengan mengambil ayat ini sebagai ayat permulaan perbincangan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa persoalan keadilan adalah persoalan yang sangat penting. Setiap manusia mendambakan keadilan kerana keadilan adalah fitrah manusia.

Pemimpin mesti memberikan keadilan kepada anak buahnya. Seorang suami dituntut memberikan keadilan kepada isteri. Seorang bapa mesti adil kepada anak-anaknya. Ini menunjukkan bahawa Islam mewajibkan umatnya berlaku adil dalam segenap penjuru kehidupan samada bergelar seorang bapa, suami, ataupun pemimpin.

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Al-Maidah:8

Ayat diatas secara jelas menyebut bahawa kita dituntut untuk menegakkan keadilan dan Allah swt mengingatkan bahawa jangan sampai kebencian kepada kepada sesuatu kaum menyebabkan kita hilang pertimbangan keadilan. Dan Allah menegaskan lagi bahawa adil itu lebih dekat dengan taqwa.

Sekarang, saya ingin menjelaskan apakah hak orang bukan islam dalam sesebuah negara menurut Islam. ‘Mereka’ yang tidak memusuhi Islam mesti diberikan hak mereka dengan seadilnya dan diharamkan berlaku zalim kepada mereka.

Golongan ini digelar sebagai ‘ahli zimmah’ iaitu golongan yang diberi perlindungan dalam Negara islam. Nabi Muhammad saw sendiri mengangkat golongan ini dengan menyatakan, “Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah iaitu bukan Islam yang menjadi rakyat maka dia menyakiti diriku sendiri”.

Begitulah nabi Saw membela golongan ini.

Dalam aspek pentadbiran, orang non-muslim diizinkan untuk memegang jawatan menteri kabinet yang terlibat dalam melibatkan dasar yang dinamakan oleh golongan fuqaha sebagai Wazarah al-Tanfiz.

Dalam aspek pembinaan rumah ibadat pula, Islam tidak pernah melarang non-muslim daripada mendirikan rumah ibadat mereka. Sepanjang pembacaan saya tidak pernah berjumpa lagi ada nabi saw atau para sahabat melarang pembinaan rumah-rumah ibadat.

Jadi fikir-fikirkanlah yang kita menjadi tak tentu hala kenapa? Kenapa perlu sampai arak kepala lembu ke bangunan SUK? Bukankah lembu merupakan lambang kesucian bagi agama hindu? Kenapa majlis dialog yang ingin mencari kata sepakat menjadi majlis yang mencemarkan akhlak kita sebagai orang Islam. Dibulan yang penuh magfirah tapi tercemar dengan kata-kata kesat.

No comments: