Tuesday, March 4, 2008

Kecelaruan Politik Kampus

Ali Bukhari Amir Sun Mar 02, 08 8:03:34 pm MYT

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar universiti Teknologi Malaysia (UTM) mungkin telah mengirim aduan kepada seorang Exco Pemuda PAS Johor Nazman Ibrahim tentang kes kempen Umno-BN di universiti tersebut pada 1 Mac lalu. Lalu, berita itu disampaikan saudara Nazman. Menurutnya, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Seri Mohd Khaled Nordin adalah individu yang telah pun memasuki kawasan universiti atas nama kementerian, diiringi pasukan konvoi bermotor. "Masalahnya, mereka masuk dengan menonjolkan imej kepartian. Anak-anak muda pakai baju BN mengelilingi kawasan kampus tersebut," kata Nazman. Tidaklah diketahui anak-anak muda itu dibawa daripada kawasan dan bahagian mana.
-->
Seorang pelajar UTM pada malam itu juga mengirim gambar-gambar TNC HEP, Khaled Nordin dan anak-anak muda Umno-BN kepada saya melalui Yahoo Messenger. Tapi, apa yang menarik perhatian saya bukanlah kempen Umno-BN.

Khaled Nordin itu memang orang politik. Beliau dan sesiapa pun yang bergelar politikus, akan menikus di balik bayang-bayang intelektual.

Mereka menggunakan apa saja alat dan perkakas demi memelihara kelangsungan politik. Terkini, Khaled berselindung di sebalik universiti untuk berkempen, demikian seorang pelajar itu lagi kepada saya.

Demikian juga anak-anak muda rempit yang entah diupah dari kawasan dan bahagian BN itu. Kedua-dua kumpulan ini; Khaled sebagai politikus dan anak-anak muda itu bukanlah boleh diajak berbincang. Hanya pihak universiti boleh diajak berdebat secara sihat.

Yang penting, kenapa TNC HEP izinkan kehadiran bekas menteri dengan imej kepartian? Saya yakin, pelajar-pelajar termasuklah parti penasihat dan parti penegur (nama lain bagi pembangkang) tidak ambil kisah dengan kehadiran menteri di universiti, asalkan saja tak dibawa lambang parti yang boleh diterjemahkan sebagai kempen dalam universiti.

Kita boleh anggap, tanggap dan terjemahkan semua itu sebagai acara kementerian. Tiada masalah. Kementerian mengusung agenda kerajaan, bukan kepartian. Titik! Semua orang atau kebanyakan orang telah maklum dan 'settle' bab ini. Sekali lagi... Titik!

Yang masih belum selesai adalah soal makam dan darjah pemikiran TNC HEP yang berat sebelah, penakut bertuhankan Auku, menyembah pemerintah mutakhir ini serta mungkin buat selama-lamanya.

Pemimpin universiti dulu, tidak ketara politiknya. Politik disimpan saja dalam perut. Tidak menunjuk-nunjuk. Pelajar dan pensyarah pun hormat mereka.

"TNC HEP menganggap universiti akan jadi universiti pondok. Kita akan menjadi seperti Taliban di Afghanistan," kata Nazman yang memegang Lujnah Perpaduan Nasional.

Dari apa yang saya faham, kenyataan itu mungkin berpunca daripada kiriman sms TNC. Atau, ia mungkin berpunca daripada hasil perbualan telefon antara pelajar dengan TNC itu.

Inilah isu yang wajib dikuliahkan iaitu tentang tahap pemikiran para pemimpin universiti. Sejak di bangku kuliah, saya tak peduli dengan siswa universiti yang suka berpesta. Tapi, saat TNC HEP dan Ketua Penolong Pendaftar tergedik-gedik menyanyi, oh ini dah lebih!

Pendek kata, apabila pemimpin universiti sudah rosak, jangan diharap anak-anak kampus itu menjadi lebih baik. Apa nak jadi dengan bangsa kita jika pemimpin universiti kita kini sudah terbabas, melebihkan agenda kepartian daripada agenda kerajaan? Rosak bangsa!

Apakah TNC tidak boleh berpesan kepada Khaled Nordin sebelum itu agar tidak dibawa segala lambang kepartian jika mahu masuk ke universiti? Bisik-bisiklah ke Dato' Khaled, "Saya pun orang Umno juga Dato' Khaled, tapi jangan ditunjukkan sangat logo parti tu."

Mak Lang Timah pun pandai jaga maruah Umno-BN
Buletin Utama 2 Mac baru-baru ini menyiarkan liputan berita mengenai Mak Lang Timah di Pendang. Beliau ini pernah menjadi calon di Sg Tiang dan rumahnya tak jauh daripada kawasan taman perumahan saya juga. Mak Lang Timah ini memang sangat masyhur.

Tapi, dalam kenyataannya yang terbaru ketika ditemubual oleh wartawan Buletin Utama, apa kata Mak Lang Timah?

"Saya berkempen pun tidak menonjolkan imej parti. Saya tak bawa logo dacing atau pun orang di sini kata lambang kati. Kalau tidak, orang jadi takut," kata beliau.

Tambah Mak Lang Timah, beliau pergi ke mana-mana pun tak akan bawa logo parti agar penerimaan orang-ramai lebih banyak dan makin terbuka lagi. Demikianlah falsafah, dan pemikiran calon Umno-BN itu. Beliau memang ramai pengundinya berkat amalan itu.

Ertinya, beliau diundi kerana kekuatan peribadi dan bukan kerana parti. Adakah Khaled Nordin, para pensyarah dan pimpinan universiti yang ada cita-cita menjadi calon Umno-BN itu bergantung kepada nama partinya atau kekuatan akhlak dan nama peribadinya? Mereka yang bergantung kepada nama parti bukanlah pemimpin sejati.

Cubalah TNC beri nasihat begini kepada menteri-menteri. Mana mereka berani?
Hatta, calon Umno-BN di kampung sendiri sedar bahawa rakyat dah takut kepada Umno-BN. Bukan kita kata. Calon BN sendiri mengaku, jangan bawa logo, nanti orang takut.

Saya fikir TNC HEP dan cendekiawan universiti kena selalu berikan nasihat positif serta panduan berguna kepada Dato' Khaled supaya meniru-niru gaya Mak Lang Timah. Tidak perlu membawa masuk logo dan lambang parti ke dalam universiti.

Nanti pensyarah dan pelajar semakin takut kepada Umno-BN dan ketakutan kepada parti itu mengatasi ketakutan mereka terhadap pelajar Taliban dan Afghanistan pula. Dan, jika sampai tahap ini, imej siapa lebih parah? Mereka dan keluaga Umno-BN mereka juga.

Putera Harry diajak berperang ke Afhanistan

Alkisahnya, Putera Harry, cucu kepada Ratu Elizabeth di England telah pun pergi berlatih atau berperang betul-betul di Afghanistan.
Entah-entah dia diberi ruang berperang dengan puak-puak Taliban agaknya. Menurut laporan, sudah 10 minggu beliau berada di sana.

Asalnya, pemergian beliau dirahsiakan. Tapi, akhirnya sebuah laman sesawang telah pun mendedahkan laporan itu. Akibatnya, telah merebaklah berita tersebut.

"Saya bukannya wira," demikian kata Putera Harry. Mungkin, beliau pun terpaksa hidup dalam suatu sistem pemerintahan yang memaksa beliau memasuki tentera. Jadi, putera itu enggan dirinya dianggap sebagai perwira walaupun terpaksa berentap dengan Taliban.
Berbicara mengenai Taliban, kita tidak dapat mengelak berbicara tentang Musharraf yang sering meletakkan puak itu sebagai sasaran guna meneruskan kekejamannya. Keadaan ini memaksa orang-orang ternama seperti Imran Khan untuk memasuki lapangan politik.

Imran, seorang pemain kriket akhirnya mengambil keputusan menubuhkan sebuah parti untuk melawan Musharraf. Dalam suatu temu bual ringkas di Newsweek, beliau berkata, negara-negara luar perlu lebih mengetahui kebejatan Pervez.

"Saya wujudkan yayasan sendiri bagi membela rakyat yang sukar mendapatkan rawatan di sini," demikian tulis beliau dalam sebuah rencananya dalam majalah antarabangsa itu ketika memperihalkan betapa hebatnya bejat si Musharraf ini.

Saat Benazir Bhutto dibunuh, Presiden Pakistan Pervez Musharraf menipu bahawa puak-puak Taliban itulah yang membunuh Benazir, walaupun satu dunia mengesyaki bahawa Musharraf itulah yang membunuh Benazir, iaitu pesaingnya dalam dunia politik.

Penipuan Musharaf mengenai pembunuhan Benazir ini lebih kurang sama dengan ucapan Najib di Ijok: "Apa kaitan kena-mengenanya antara saya dengan Altantuya?" Padahalnya kita cuma bertanya, gerangan siapa yang meluluskan penggunaan bom yang meledakkan tubuh wanita malang dari Monggolia itu?

Sebab apa pula dengan tiba-tiba Taliban membunuh pihak yang tidak pernah bersalah dan menindas mereka selama ini? Lebih baik Taliban membunuh Musharraf yang amat kejam itu daripada membunuh Benazir. Musharraf juga ada rekod buruk ke atas demokrasinya.

Satu dunia tahu bagaimana Musharaf telah melucutkan jawatan hakim yang membatalkan pilihan raya anjurannya sendiri. Ini rekod buruk demokrasi junta di mana tipu daya sering berlaku sepertimana Abdullah Ahmad Badawi menipu tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat terhadap kira-kira 27 juta rakyat Malaysia.

Jadi, siapa yang teruk? Taliban? Benazir? Musharraf? Najib? Abdullah Ahmad Badawi? Ini soalan yang perlu diperhalusi TNC HEP dan pimpinan universiti yang mengharapkan jawatan menteri atau menyimpan angan-angan tinggi menggunung sebagai calon BN.

Ini soalan yang perlu dijawab sebelum beliau terlalu melulu menuduh universiti kita akan menjadi universiti pondok, negara kita menjadi seperti Afghanistan di mana puak Taliban memerintah. Ini semua hipotesis yang perlukan kajian sebelum diangkat sebagai hukum dan teori.

Tetapi sebelum mengulas hipotesis jawablah dulu soalan tentang tipu daya bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika membubarkan Parlimen. Ini tidak perlukan teori dan hipotesis apa-apa. Baik atau tidak tindakan menipu kira-kira 27 juta rakyat Malaysia?

No comments: