Friday, April 17, 2009

PERALIHAN KUASA MENURUT PANDANGAN ISLAM

Ustaz Mohammad Naem Bin Mat Basir, Khatib Jumaat Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia pada 10 April 2009

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekelian,
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita semua akan beroleh kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Hari ini kita berada di bulan Rabiulakhir 1430H, seandainya Rabiulawal yang berlalu pergi mengingatkan kita tentang Maulidurrasul, maka kemunculan Rabiulakhir pula mengingatkan kita kepada kewafatan Saidina Abu Bakar As Siddiq sekaligus berlakunya peralihan kuasa kepada Saidina Umar bin al Khattab sebagai khalifah kedua. Fenomena ini mungkin hampir serupa dengan situasi negara sekarang ini, cumanya yang beza adalah syahsiyyah, ideologi dan zaman peralihan kuasa itu berlaku. Peralihan kuasa ini adalah sunnatullah, sepertimana yang ditegaskan oleh Allah Taala dalam surah al Imran, ayat 140: Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.

Sidang Jumaat Yang Diberkati Allah,
Sekiranya kita meneliti sejarah peralihan kuasa di antara Sultan Sulaiman bin Abdul Malik dengan Umar bin Abdul Aziz, sudah tentu kita meyakini bahawa kuasa yang menguruskan peralihan kuasa itu adalah Allah. Ini berikutan, ketika Sultan Sulaiman bin Abdul Malik ditimpa nazak, baginda ingin melantik pengganti selepas kematiannya itu kepada Yazid bin Abdul Malik iaitu anaknya, selari dengan sistem beraja pada zaman tersebut. Akan tetapi, perkara ini tidak mendapat persetujuan daripada ahli Majlis Syura yang terdiri daripada ulamak dan pembesar, malah Majlis Syura menyarankan agar yang layak menjadi penggantinya itu adalah Umar bin Abdul Aziz. Ini adalah kerana, pada waktu itu, Islam berhadapan dengan pakatan tentera Musyrik yang berpengkalan di Kota Konstantinople, lantaran itu, urusan menjaga dan mengurus tadbir negara dan rakyat antara cabaran terbesar di zaman itu, tambahan pula Yazid bin Abdul Malik ketika itu masih kecil. Akhirnya Sultan Sulaiman bin Abdul Malik setuju dengan cadangan tersebut, dan berlakulah proses peralihan kuasa. Namun, apa yang ingin dijadikan contoh daripada kisah ini adalah, Umar bin Abdul Aziz sama sekali tidak tahu urusan pelantikan beliau sebagai Khalifah, sehinggalah bai’ah untuk menabalkan beliau sebagai Khalifah telah dilakukan di penjuru masjid, tempat Umar bin Abdul Aziz sentiasa beri'ktikaf. Umar bin Abdul Aziz menerima tugas itu dengan seluruh badannya gementar, sehinggakan beliau terpaksa dipapah untuk naik ke atas mimbar disebabkan takut dengan amanah besar sebagai Khalifah. (Sila rujuk kisah ini di Mukhtasar Tarikh Dimasyk Li Ibnu Asakir, Jilid 19, m/s 104).

Daripada sirah ini, dapatlah diambil sedikit pengajaran, bahawa setiap peralihan kuasa itu akan mencorakkan masa depan generasi hari ini dan akan datang. Ini adalah kerana, semua urusan yang bersangkut paut dengan hak-hak orang Islam seperti ibadah, ekonomi dan sosial keseluruhannya bergantung penuh kepada siapa yang memegang tampuk pimpinan. Sekiranya pemimpin itu soleh, maka solehlah juga rakyat dan orang yang berada di bawahnya, dan seandainya pemimpin itu rosak, maka rosaklah keseluruhan rakyat dan sistemnya. Perkara ini bertepatan sepertimana yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w, bahawa akan berlaku peralihan kuasa selepas kewafatan baginda dalam hadisnya yang panjang dengan berbunyi:

Aku telah mendengar Huzaifah bin Yaman sedang berkata bahawa ramai sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang kebaikan, akan tetapi aku pula bertanyakan tentang kerosakan sebagai peringatan agar aku tidak terjerumus ke dalamnya, maka aku bertanya Ya Rasulullah, sesungguhnya kami telah berada dalam zaman jahiliyyah dan kerosakan yang amat sangat, sehinggalah Allah mengutus engkau untuk memandu kami ke arah kebaikan, maka adakah selepas kebaikan ini akan berlaku kerosakan ? Jawab baginda, Ya. Aku bertanya lagi, apakah selepas kerosakan itu ada kebaikan ? Jawab baginda, Ya, akan tetapi ketika itu kamu berada di dalam kekeliruan. Aku menyoal lagi, apa yang dimaksudkan dengan kekeliruan itu ? Maka baginda menjawab, Ada di kalangan kamu yang tidak mengikut sunnahku, dan menunjukmu panduan tanpa menggunakan petunjukku, adakalanya kamu mengenali mereka, dan adakalanya juga kamu tidak mengenali mereka, aku bertanya lagi, adakalah selepas kebaikan itu ada kerosakan ? Jawab baginda, Ya, waktu itu ada di kalangan kamu yang berterus terang mengajak kamu menuju ke pintu-pintu kerosakan, barangsiapa yang menjawabnya maka ia akan termasuk dalam golongannya, aku bertanya lagi, Ya Rasulullah, tolonglah tunjukkan siapa mereka itu ? Jawab baginda, Ya, mereka adalah sama kulit seperti kita dan bertutur dengan bahasa kita. Aku bertanya lagi, Ya Rasulullah apakah pandangan kamu sekiranya kami mengenali mereka, maka jawab Rasulullah, pada waktu itu, bersatulah kamu jamaah dan berpeganglah kepada pimpinanmu. (Hadis Sohih)

Sidang Jumaat Yang Diberkati Allah,
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sohihnya di bawah tajuk ‘kitabul imarah’ iaitu kitab pemerintahan pada bab ‘babul wujub mulazamati jamaatul muslimin ie’nda zuhuril fitan’ iaitu bab wajib seseorang itu berpegang kepada kesatuan Islam ketika munculnya fitnah. Imam Muslim memasukkan hadis ini dalam kitab pemerintahan sebagai dalil dan bukti yang kukuh bahawa pengaruh sesebuah kepimpinan itulah yang akan memberi kesan kepada seluruh kehidupan rakyat.

Hari ini kita masih lagi tidak selesai dengan isu rasuah, isu murtad, isu menghina Islam mempersenda Rasulullah, isu gejala sosial, isu lirik lagu yang mempermainkan kalimah Allah, isu meringankan hukum hakam Allah, dan bermacam-macam isu yang sama sekali berhajat kepada penyelesaian segera daripada semua pihak khususnya kepimpinan. Penyelesaian sesuatu isu bukan boleh diselesaikan dengan hanya menggunakan bantuan kewangan dan sumbangan orang ramai, akan tetapi, sesetengah isu perlu dinyatakan pendirian, serta disokong dengan ketegasan dan keberanian menzahirkan aqidah kepada Allah S.W.T.

Sebab itu dalam masalah isu Gaza di Palestin baru-baru ini, berapa banyak negara yang menghulurkan bantuan, berapa ramai individu terkaya memberikan sumbangan, hatta orang yang bukan Islam turut tidak terkecuali menghulurkan bantuan dan berdemonstrasi menentang zionis. Persoalannya mengapa mereka membantu? Ini disebabkan mereka melihat peristiwa berdarah itu tidak lain hanya mengikut kaca mata erti kemanusiaan, tidak lebih daripada itu. Sedangkan pandangan al Quran melangkau erti kemanusiaan, melepasi batas kemaslahatan, malah lebih jauh daripada itu, menyarankan agar umat Islam bangkit menentang kezaliman, bangun mempertahankan Islam dalam apa jua cara dan kondisi sekalipun. Sebab itu, ketika mana Mesir di bawah pemerintahan Presiden Husni Mubarak, menutup sempadan Refah antara Mesir dan genting Gaza, apa yang berlaku ? Ulamak-ulamak al Azhar bangkit dengan mengeluarkan fatwa sambil menegaskan bahawa, setiap titis darah, bukan setiap nyawa, saya ulang sekali lagi, setiap titis darah yang mengalir di atas bumi Gaza, setiap umat Islam akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak mana sumbangannya, jihadnya dan pengorbanannya dalam mempertahankan Islam.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Melihat kepada realiti yang berlaku pada hari ini, Rasulullah s.a.w sudah lama memberi panduan kepada umatnya, agar menjadikan dasar peralihan kuasa ini sebagai medan untuk saling nasihat menasihati antara pemimpin dan yang dipimpin. Ini tidak bermakna bahawa golongan dipimpin sahaja yang perlu dinasihati, ditunjuk ajar dan dipandu, sebaliknya golongan pemimpin juga perlu untuk menerima pandangan, teguran dan nasihat daripada orang bawahan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang berbunyi:

Daripada Abi Hurairah sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berkata, sesungguhnya Allah meredhai kamu 3 perkara dan mengeji kamu 3 perkara, Allah meredhai kamu menyembahnya dan tidak mensyirikkannya, dan menyuruh kamu berpegang dengan tali Allah, dan menyuruh kamu saling menasihati antara pemimpin yang menguruskan urusanmu, dan Allah mengeji kamu saling menjaja cerita, mensia-siakan harta, dan banyak bersoal.

Sekiranya kita meneliti dan menghayati maksud disebalik hadis ini, ianya sudah cukup memberi panduan kepada kita supaya berpegang pada tali Allah setelah mana kita menyaksikan bermacam-macam isu yang menggugat kewibawaan Islam, dalam masa yang sama, Rasulullah s.a.w mengingatkan kepada pemimpin dan yang dipimpin agar sama-sama mengamalkan prinsip nasihat-menasihati dengan penuh keterbukaan menerima pandangan di waktu berlaku peralihan kuasa tatkala ini, malah Rasulullah s.a.w juga menyarankan, agar kita tidak mensia-siakan harta pemberian dan anugerah Allah ke jalan yang tidak bermanfaat, di waktu dunia kini diancam dengan krisis ekonomi.

Tidak kira peralihan kuasa itu berlaku pada peringkat kampung, daerah, pejabat, jabatan, fakulti, negeri dan sebagainya, semestilah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai panduan utama dan contoh teladan. Sekiranya sesebuah organisasi itu cemerlang daripada sudut pentadbiran, maka sudah tentulah kejayaan itu akan merujuk kepada barisan kepimpinannya. Begitulah juga dengan Rasulullah s.a.w, bagaimana dakwah Rasulullah s.a.w boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat dan Islam mampu tersebar ke 1/3 dunia, sudah tentulah jawapannya, Rasulullah s.a.w memiliki barisan kabinet yang cukup cemerlang daripada segenap aspek. Pembentukan kabinet Rasulullah s.a.w selari dengan sabdanya yang berbunyi:

Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berkata : ‘umatku yang paling mulia adalah Abu Bakar, dan yang paling berani menegakkan agama Allah adalah Umar, dan yang paling menjaga maruahnya adalah Osman, dan yang paling adil dalam hukuman adalah Ali bin Abi Talib, dan yang paling hebat bacaan al Quran adalah Ubai bin Kaab, yang paling mengetahui halal dan haram adalah Muaz bin Jabal, dan yang begitu teliti melaksanakan tuntutan Allah adalah Zaib bin Thabit, dan ketahuilah dan setiap daripada umat itu ada pemegang amanahnya, dan pemegang amanah ummah ini adalah Ubaidah bin al Jarrah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Lantaran itu, marilah kita kembali kepada Islam melalui dasarnya al Quran dan as Sunnah untuk dijadikan sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Betapa Rasulullah s.a.w begitu mencintai umatnya sehinggakan dalam masalah peralihan kuasa inipun baginda memberi tunjuk dan panduan melalui wahyu. Maka tidak hairanlah sekiranya, Rasulullah s.a.w telah mencapai satu tahap pemerintahan yang paling unggul apabila meletakkan orang yang soleh dan berwibawa sebagai pemimpin. Perkara ini juga ditegaskan oleh Allah Taala dalam surah an Nur ayat 55 yang berbunyi: Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

KHUTBAH JUMAAT BERTAJUK 'PERALIHAN KUASA MENURUT PANDANGAN ISLAM' DISAMPAIKAN DI MASJID SULTAN ISMAIL UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA PADA 10 APRIL 2009 OLEH USTAZ MOHAMMAD NAEM MAT BASIR, PENSYARAH PUSAT PENGAJIAN ISLAM DAN PEMBANGUNAN SOSIAL UTM.

No comments: